95 Peratus Warga Labuan Patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/RTM Labuan

LABUAN, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Lebih kurang 95 peratus warga Labuan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan bermula 18 Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad, hingga hari ke lima pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, pihaknya merekodkan lebih kurang lima ribu kenderaan yang masuk ke pusat bandar.

“Kita dapati lebih kurang lima peratus lagi warga Labuan yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan baik dan kita harap berbaki sembilan hari Perintah Kawalan Pergerakan warga Labuan dapat duduk di rumah serta barang-barang keperluan rumah juga mencukupi.

“Agensi swasta yang tidak termasuk dalam pengecualian Perintah Kawalan Pergerakan juga diharap menutup premis mereka sebagai mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan,” katanya yang ditemui selepas mengadakan taklimat bersama pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan, hari ini.

Farid berkata, seramai lebih kurang 56 anggota ATM akan membantu pihak polis memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di Labuan.

“Kekuatan anggota ATM ini akan kita serap dalam 15 pasukan pemantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditubuhkan termasuk membantu tiga sekatan jalan raya yang beroperasi 24 jam sekaligus menjadikan kekuatan ATM dan PDRM sepanjang pemantauan ini seramai 200 orang anggota.

“Kita harap masyarakat jangan panik, bantuan ATM hanya memastikan supaya masyarakat di luar sana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini ,”katanya lagi.

Kesemua pasukan pemantau itu katanya akan bergerak di kawasan bandar dan luar bandar dan akan memberi tumpuan kawasan tertentu dimana masih ada yang keluar berkumpul dan bersukan pada waktu petang.

“Kita nasihatkan masyarakat hanya membuat pergerakan yang perlu sahaja seperti membeli makanan atau keperluan harian dan hanya ketua keluarga dibenarkan berbuat demikian,” tegasnya.

-SH