Cameron Highlands Sunyi, Masyarakat Patuh Perintah Kawalan Pergerakan

Laporan/foto: Muhammad Arief/ Muhamad Khairul Faizal (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Cameron Highlands sunyi dan lengang. Tiada kelibat kenderaan berpusu-pusu menggunakan jalan raya menuju destinasi kerja mahupun melawat pusat-pusat pelancongan. Begitu juga kedai-kedai makan kebanyakan mengikut arahan untuk ditutup melainkan kedai-kedai yang dibenarkan sahaja.


Suasana sunyi ini adalah selepas pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Perutusan Khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac ini. Perintah ini diarahkan bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang makin meningkat saban hari.




Pekerja kedai serbaneka memakai penutup hidung dan sarung tangan bagi melindungi diri dari COVID-19. Pekerja kedai serbaneka memakai penutup hidung dan sarung tangan bagi melindungi diri dari COVID-19.


Pekerja kedai serbaneka Ahmad Aswari, 26, ketika ditemu bual berkata beliau menyambut baik saranan Perdana Menteri.


“Walaupun pada satu sudut langkah Perintah Kawalan Pergerakan yang antara lain mengarah semua premis makanan tertentu ditutup sementara sedikit sebanyak telah menyebabkan hasil jualan harian menurun,  namun pada sudut yang lain pula saya sangat menerima baik dengan pengumuman ini demi kebaikan semua pihak dalam membendung penularan wabak COVID-19,” ujarnya yang ditemui di sini, baru-baru ini.


Menurutnya lagi kerajaan telah melaksanakan apa yang sepatutnya bagi membendung penularan COVID-19.


"Ketika ini, masyarakat setempat sendiri perlu bertanggungjawab untuk bekerjasama dalam membendung penularan ini dengan mengamalkan jarak sosial satu meter, duduk di rumah dan meminimumkan aktiviti di luar rumah," tambahnya.


Pihak Berkuasa Tempatan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) turut mengadakan pemantauan berkala di setiap premis yang berada di sini.


Agensi lain seperti Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands juga turut serta dalam melakukan hebahan berkenaan situasi semasa berkaitan COVID-19 seperti langkah berjaga-jaga, jarak sosial satu meter dan juga Perintah Kawalan Pergerakan. Usaha menghebahkan tentang isu ini akan diteruskan agar usaha baik kerajaan ini sampai kepada rakyat dan dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat.


-KN