Solat Jumaat Dan Berjemaah Di Masjid Serta Surau Ditangguhkan

Laporan/foto: Sharifuddin Razak (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 24 Mac (Malaysiaaktif) - Sultan Johor, Sultan Ibrahim telah berkenan untuk menangguhkan solat berjemaah dan solat Jumaat bagi seluruh negeri Johor sehingga arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selesai.

Sebanyak 808 masjid dan 1,928 surau di negeri ini perlu mematuhi arahan yang disampaikan, namun laungan azan masih diteruskan dan hanya Imam, Bilal dan Noja sahaja dibenarkan berada di dalam masjid.

Menurut Sohibus Samahah Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad, tempoh lanjutan ini telah diputuskan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam dan mendapat perkenan Sultan Johor ekoran daripada arahan PKP yang dijangka akan berakhir pada 31 Mac 2020.

"Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, rakyat negeri ini perlu mematuhi dan mentaati mazhab Syafie dalam syarat-syarat mendirikan solat Jumaat yang telah ditetapkan.

"Justeru dalam keadaan sekarang yang tidak mengizinkan, rakyat perlu mendirikan solat Zohor di rumah masing-masing dan disarankan tidak mendirikan solat Jumaat dengan mengikut mazhab lain," ujarnya ketika sidang media yang diadakan di Bilik Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Johor Bahru, di sini, semalam.

Beliau turut menyeru agar jemaah tabligh yang masih belum membuat saringan tampil ke Klinik Kesihatan untuk melakukan pemeriksaan dan begitu juga kepada kontak rapat jemaah tabligh agar dengan rela hati membuat saringan kesihatan.

Terdahulu Majlis Agama Islam Negeri Johor telah menangguhkan solat Jumaat bagi tujuan pembersihan dan penyahkuman.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Sahibus Sa'adah Datuk Md Rofiki Datuk Samsudin.
-NI-