Padah Rempuh Sekatan Jalan Raya

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 24 Mac (Malaysiaaktif) - Seorang lelaki menerima padah setelah merempuh sekatan jalan raya semasa Operasi Covid-19 di kilometer 13.2 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Batu Caves, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi ketika sepasukan anggota polis melakukan sekatan jalan raya di lokasi tersebut.

"Polis menyedari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum kenderaan berkenaan merempuh sekatan jalan raya serta memecut ke arah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

“Kenderaan berkenaan kemudian melanggar palang tol ketika tiba di Plaza Tol Gombak dan terus ke arah Bentong, Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ketika tiba di kilometer 23.6, kenderaan berkenaan hilang kawalan serta melanggar tembok pembahagi jalan.

“Ketiga-tiga suspek bertindak melompat keluar daripada kenderaan mereka dan melarikan diri ke arah hutan yang berhampiran.

"Namun, seorang daripada mereka berjaya ditahan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur kira-kira pukul 5 petang semalam,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek berusia 20-an itu mempunyai 20 rekod jenayah termasuk berkaitan dadah.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan bagi mengesan suspek lain yang terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

-SH