Kes COVID-19 Dijangka Meningkat, Kerajaan Pertingkat Fasiliti Kesihatan



PUTRAJAYA, 25 Mac (Malaysiaaktif) - Menjangkakan wabak COVID-19, yang melanda dunia sekarang dengan Malaysia tidak terkecuali akan mengalami keadaan lebih sukar, mendorong kerajaan untuk  meningkatkan kapasiti ujian saringan dalam skala lebih besar bagi membendung penularan wabak ini di negara ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu termasuklah ujian secara besar-besaran khususnya di kawasan yang berisiko tinggi.

“Kerajaan menjangkakan kes-kes baharu akan terus dicatatkan dalam masa yang terdekat. Oleh itu, Kementerian Kesihatan telah melakukan persiapan. Ini termasuk menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital di seluruh negara untuk menerima pesakit COVID-19.

“Pada masa ini, 34 peratus daripada kapasiti katil hospital telah digunakan, dengan baki 66 peratus lagi yang masih boleh menampung pesakit.

“Jika berlaku pertambahan jumlah kes positif COVID-19 melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat telah dikenal pasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara,” katanya dalam Perutusan Khas yang disiarkan menerusi televisyen tengah hari ini.

Muhyiddin berkata, usaha akan terus dibuat untuk mencegah penularan COVID 19 sehinggalah wabak itu dapat dibendung dengan cara memutuskan rantaian jangkitan sepenuhnya.

Menegaskan bahawa pergerakan orang ramai mesti terus dikawal, beliau berkata strategi kerajaan ialah untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit COVID-19.

“Strategi ini akan berjaya sekiranya orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan virus ini menerusi pergaulan harian.

“Justeru, saudara-saudari mesti bersedia secara mental dan fizikal untuk duduk diam-diam di rumah bagi tempoh yang agak lebih lama,” katanya.

Berdasarkan taklimat oleh Kementerian kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, Perdana Menteri berkata corak peningkatan kes positif COVID-19 baharu masih berlaku dan dijangka berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mulai menurun.

-- BERNAMA