Ingkar PKP : 110 Individu Ditahan - Ketua Polis Negara



PUTRAJAYA, 25 Mac (Malaysiaaktif) - Seramai 110 individu ditahan di seluruh negara kerana telah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak ia dikuatkuasakan 18 Mac lalu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan individu terbabit itu adalah, menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

"Dalam tempoh itu juga, polis telah menahan sebanyak 238,000 kenderaan dalam sekatan jalan di seluruh negara, kerana melanggar PKP.

"Mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab seperti penipuan pembelian barangan, antaranya penutup mulut dan hidung palsu, pihaknya telah membuka sebanyak 370 kertas siasatan dan menahan 25 individu dan daripada jumlah itu, seramai 11 individu telah dituduh di mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas pada program 'Selamat Pagi Malaysia' di Radio Televisyen Malaysia, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata penipuan pembelian barangan berkenaan, melibatkan kerugian hampir RM3 juta dan kes berkenaan, dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

-- BERNAMA