Hebahan COVID-19 Versi Bengali Bergema di Cameron Highlands

Laporan/foto: Muhammad Arief (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands menggiatkan usaha memberikan hebahan melalui program Info On Wheels (IOW) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan dan Info berkaitan COVID-19.




Unit Jabatan Penerangan ketika melakukan aktiviti hebahan berkaitan COVID-19. Unit Jabatan Penerangan ketika melakukan aktiviti hebahan berkaitan COVID-19.


Menurut Pegawai Penerangan Daerah Cameron Highlands Rosnaniwati Rasidi, Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands berusaha sebaik mungkin membantu komuniti agar faham dan akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan melalui hebahan unit bergerak.


"Kami masuk ke seluruh pelosok kampung, perumahan dan pekan di daerah ini.


“Malah kami turut mengambil inisiatif mempelbagaikan lagi bahasa dalam bentuk hebahan seperti Bahasa Bengali kerana majoriti masyarakat Bangladesh bekerja di sektor pemprosesan sayur, kebun dan peruncitan di daerah ini,” ujarnya ketika ditemui, di sini semalam.


Menurut Rosnaniwati, apabila versi bahasa Bengali ini dihebahkan, ia menarik perhatian warga Bangladesh untuk keluar menjenguk unit Jabatan Penerangan dan mendengar inti pati dan info yang disampaikan.


Manakala seorang pekerja warga Bangladesh yang ditemui, Md Salim Sarkar, berkata inisiatif hebahan melalui bahasa Bengali ini lebih mudah difahami kerana masih terdapat warga Bangladesh yang belum cekap berbahasa Melayu mahupun Inggeris.


“Kalau guna bahasa kami (Bengali) lebih mudah diterima kerana ramai warga Bangladesh bekerja di Cameron Highlands dan turut risau dengan gejala COVID-19 ini, juga terdapat individu yang masih tidak mengendahkan situasi semasa yang serius ini,” ujarnya.


Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) serta agensi lain akan meneruskan usaha murni dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat sama ada melalui hebahan unit bergerak mahupun media sosial agar maklumat terkini berkaitan COVID-19 dan pelaksanaan oleh kerajaan dalam membendung wabak ini sampai kepada rakyat.


-KN