JaPen Pahang Pergiat IOW di Seluruh Negeri

Laporan/foto: Zayana Isa/Sh Nurul (Kuantan)

KUANTAN, 25 Mac (Malaysiaaktif) - Jabatan Penerangan Negeri Pahang giat menyalurkan maklumat kepada masyarakat di seluruh negeri Pahang bagi memastikan penduduk di negeri ini mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghentikan rantaian wabak COVID-19 berkuatkuasa 18 Mac hingga 14 April ini.




Temuramah RTM bersama Pengarah Jabatan Penerangan Pahang bagi slot Selamat Pagi Malaysia. Temuramah RTM bersama Pengarah Jabatan Penerangan Pahang bagi slot Selamat Pagi Malaysia.


Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pahang Mohd Salmun Mustapha, berkata program Info on Wheels (IOW) ini dibuat secara serentak di seluruh negeri bagi memastikan masyarakat khususnya di luar bandar dan pedalaman mendapat maklumat mengenai perintah ini.


“Setakat ini, sebanyak 2250 hebahan telah dibuat melalui aktiviti IOW melibatkan 470 lokasi di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui di Felda Bukit Goh sempena aktiviti IOW Pejabat Penerangan Daerah Kuantan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).


Beliau turut menambah bahawa pendekatan IOW ini dapat menyalurkan maklumat secara terus dan tepat kepada masyarakat mengenai arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.


“Hebahan dibuat dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil serta tambahan satu bahasa asing (Bengali) di daerah Cameron Highlands,” katanya.


Salmun berharap dengan hebahan yang dibuat oleh Jabatan Penerangan ini dapat membantu kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat.


“Apabila kita membuat hebahan ini secara tidak langsung kita memberikan kesedaran kepada orang ramai bahawa perkara ini adalah serius dan kita akan terus mempergiatkan lagi aktiviti IOW di negeri Pahang agar matlamat sebenar kerajaan tercapai,” katanya lagi.


-KN