COVID-19 : Tabung Bencana Negeri Johor Untuk Golongan Yang Memerlukan

Laporan/foto: Musliha Yusof/MEDKOM (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 25 Mac (Malaysiaaktif) - Prihatin dengan individu yang terjejas dengan wabak COVID-19, kerajaan negeri mewujudkan tabung khas bagi memberi bantuan kewangan kepada pihak yang memerlukan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Vidyanathan Ramanadhan, masyarakat dipelawa untuk bersama-sama memberi sumbangan bagi disalurkan kepada golongan yang terjejas berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara.

"Saya amat berterima kasih kepada sektor swasta dan perseorangan yang tampil memberi sumbangan kepada Tabung Bencana Negeri Johor.

"Kerajaan Negeri juga menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan mengurniakan sumbangan berupa wang tunai untuk disalurkan ke daerah-daerah di Negeri Johor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Jabatan Kesihatan Johor," katanya pada sidang media di Iskandar Puteri, di sini semalam.

Tambah beliau, kerajaan pusat melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi telah mengumumkan beberapa inisiatif utama melalui Pakej Rangsangan Ekonomi bagi rakyat yang terjejas akibat COVID-19 seperti pengeluaran i-Lestari bagi pencarum KWSP yang berjumlah RM40 bilion di mana pengurangan kadar caruman pekerja sebanyak empat peratus juga akan dilaksanakan berkuatkuasa pada bulan April 2020.

"Pencarum yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan melalui Akaun 2 dengan kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

"Kerajaan pusat juga akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan yang mana sejumlah RM500 juta akan digunakan untuk menangani COVID-19 dan selebihnya bagi urusan pelantikan 2,000 kakitangan baharu secara kontrak," ujarnya.

Vidyanathan turut memaklumkan, pihak kerajaan akan menyalurkan RM130 juta bagi menangani krisis COVID-19 kepada semua kerajaan negeri manakala bagi peminjam PTPTN pula, penangguhan bayaran akan dilanjutkan daripada tiga bulan kepada enam bulan berkuatkuasa serta merta sehingga 30 September 2020.

"Kerajaan Negeri Johor turut mengumumkan Insentif Ihsan Johor bagi membantu Asnaf fakir dan miskin melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan memberi bantuan khas sebanyak RM2,000 kepada waris yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 manakala pesakit yang disahkan positif di negeri ini akan diberi Bantuan Khas Tunai secara one-off sebanyak RM1,000.

"Para Pekerja Sambilan Harian (PSH) di bawah kerajaan negeri yang berstatus kontrak juga akan dibayar gaji seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini," ujarnya lagi.

Tambah beliau, kerajaan turut memberi pengecualian bayaran sewa premis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga kepada peniaga-peniaga Perusahasn Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi di premis milik Kerajaan Negeri mulai bulan April sehingga Disember 2020.

Semua ADUN Negeri Johor juga turut diberi peruntukan sebanyak RM20,000 untuk disalurkan kepada rakyat yang terkesan langsung dengan wabak ini.

Vidyanathan turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada para petugas kesihatan dan keselamatan yang menjadi frontliners Kerajaan yang sentiasa bersedia dan responsif dalam menjalankan tugas tanpa mengira masa dan penat lelah dalam menangani penularan jangkitan Covid-19 ketika ini.

Orang ramai di negeri ini yang hendak menyalurkan bantuan untuk Tabung Bencana Negeri Johor boleh menghubungi Bahagian Kesihatan Awam di talian 07-2382217 (Dr Lily Rafidah Mohamed Zaki) dan Bahagian Perubatan di talian 07- 2245211 (Dr Sukhaila Daros) pada waktu pejabat, iaitu dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

-NI-