Penguat Kuasa Boleh Guna Apa-apa Cara untuk Pastikan PKP Dipatuhi



Foto: JaPen

PUTRAJAYA, 26 Mac (Malaysiaaktif) - Pihak yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh menggunakan apa jua cara termasuk kekerasan bagi memastikan perintah itu dipatuhi, kata  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya selain itu, pihak terlibat juga boleh menahan, mendakwa sehingga dihukum penjara atau dikenakan denda oleh mahkamah sebagaimana yang telah dilaksanakan.

“Kerjasama dengan pihak yang menguatkuasakan undang-undang khususnya Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) seperti petugas kesihatan, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia), amatlah penting bagi memastikan langkah yang diambil oleh kerajaan demi menjaga nyawa rakyat, berkesan serta tidak sia-sia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan media bertajuk ‘Rakyat Kelantan degil, polis akan ketatkan sekatan’.

Takiyuddin menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mematuhi PKP yang telah dilanjutkan tempohnya sehingga 14 April.

“Saya berharap kesabaran kita menghadapi tempoh getir dan mencabar ini mampu menyelamatkan nyawa semua rakyat Malaysia daripada terus diserang virus COVID-19 yang amat berbahaya serta membawa maut ini,” katanya.

-- BERNAMA