COVID-19: Satu Lagi Kematian, Jumlah Kematian 20 - KP Kesihatan



Foto: KKM

PUTRAJAYA, 26 Mac (Malaysiaaktif) - Satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat penularan jangkitan itu di Malaysia adalah 20 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi catatan terbaharu di laman Facebooknya, beliau berkata kes kematian ke-20 itu merupakan kes ke-780 melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun yang telah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan mulai 18 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4.35 petang, 25 Mac 2020. KKM (Kementerian Kesihatan) ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” menurut catatan itu.

Terdahulu, dalam sidang media semalam, Dr Noor Hisham berkata terdapat 172 kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari menjadikan kes positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 1,796 kes.

Berdasarkan siasatan awal, Dr Noor Hisham berkata daripada 172 kes baharu yang dilaporkan itu, 71 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, manakala baki 101 kes masih dalam siasatan.

-- BERNAMA