Kilang Proses Bahan Plastik Terbakar

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

KUNDANG, 26 Mac (Malaysiaaktif) - Sebuah kilang memproses bahan plastik di kawasan perindustrian Kundang terbakar dalam kejadian hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.02 tengahari.

Katanya, operasi pemadaman melibatkan seramai 30 anggota bomba, tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera tangki air serta satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Ia turut melibatkan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang, Rawang dan Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pihak kami tiba di tempat kejadian 13 minit kemudian selepas menerima panggilan kecemaran dan mendapati sebuah kilang memproses bahan plastik berkeluasan 3,500 kaki persegi terbakar," katanya.

Menurutnya, kilang berkenaan terbakar hampir 70 peratus namun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kematian.

"Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya, namun punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

-SH