COVID-19; Dua Kes Kematian Baharu di Sarawak

Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

KUCHING, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Sarawak mencatatkan dua kes kematian dan menjadikan jumlah kematian sebanyak tujuh kes akibat COVID-19. Kedua-dua kes kematian ini masing-masing di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Miri.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata terdapat enam kes positif COVID-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 135 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

"Kesemua enam kes ini masing-masing dirawat di Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri dan Hospital Sibu. Turut terdapat sebanyak 50 kes baharu Person Under Investigation (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,176 kes dan daripada jumlah itu, 977 kes adalah negatif dan 64 kes PUI masih menunggu keputusan makmal," katanya semasa sidang media, di sini semalam.

Dalam pada itu, Uggah turut menasihati rakyat agar terus bersabar dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

"Tempoh PKP sudah masuk hari ke-13 tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan dan pihak polis telah melaporkan hanya sebanyak 95% rakyat Sarawak mematuhi tempoh PKP.

"Setakat semalam pihak polis telah membuat 67 tangkapan dengan jumlah keseluruhan tangkapan sebanyak 229 kes dan hari ini sahaja sebanyak 31 kes telah dituduh dengan jumlah keseluruhan adalah 56 orang dan selebihnya masih lagi dalam siasatan," katanya lagi.

-SH