Tambahan RM20 Juta Laksanakan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS)

Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad/Mahmud Sulaiman (Sarawak)

KUCHING, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Sarawak telah bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM20 juta bagi Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) untuk membantu meringankan beban Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan memudahkan usahawan yang terkesan daripada situasi yang dihadapi di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata Sarawak sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan skim ini.

"Antara objektif utama Skim Kredit Mikro ini adalah untuk menyediakan kemudahan pinjaman atau pembiayaan mudah kepada usahawan-usahawan kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Memandangkan PKS adalah tulang belakang atau pemacu utama kepada pembangunan ekonomi dimana 98% daripada perusahaan di negara termasuk di Sarawak adalah terdiri dari PKS," ujarnya ketika Sidang Media Skim Kredit Mikro Sarawak, di sini hari ini.

Awang Tengah yang juga merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menjelaskan bahawa SKMS ini terbahagi kepada dua skim iaitu SKMS I dan SKMS II.

"Dibawah SKMS I, ianya menyediakan pinjaman atau pembiayaan dari RM1,000-RM10,000 tanpa kadar faedah/kadar keuntungan kepada usahawan B40.

"Manakala SKMS II pula akan menyediakan pinjaman atau pembiayaan dari RM5,000-RM50,000 dengan kadar faedah atau kadar keuntungan sebanyak 4% berdasarkan baki bulanan berkurangan kepada usahawan mikro dan kecil dan sebagai langkah untuk meringankan beban kewangan PKS, kerajaan negeri akan membenarkan penangguhan bayaran balik selama enam bulan untuk peminjam-peminjam skim ini," jelasnya lagi.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan penangguhan pembayaran balik selama enam bulan bagi peminjam Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) yang dijangka memberi manfaat kepada seramai 144 peminjam.

-SH