Ramadan on Wheels Hidupkan Suasana Ramadan

Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 29 April (Malaysiaaktif) - Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Terengganu menggunakan kaedah terbaharu dengan menyelitkan tazkirah Ramadan pada program Ramadan on Wheels (RoW) bermula fasa keempat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelmarin.

RoW adalah kesinambungan daripada program Info on Wheels (IoW) iaitu hebahan melalui pembesar suara menggunakan kenderaan jabatan atau unit bergerak dengan menjelajah ke seluruh kawasan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai isu-isu semasa seperti COVID-19, berita palsu dan kebanyakan hebahan tertumpu kepada pematuhan PKP.

Pembantu Penerangan Kanan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Rozli Mohamad membuat hebahan mengenai pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu. Pembantu Penerangan Kanan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Rozli Mohamad membuat hebahan mengenai pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu.



Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail, berkata bagi hebahan yang diadakan pada bulan puasa, pihaknya turut menyediakan audio tazkirah Ramadan selain masih mengekalkan hebahan agar orang ramai sentiasa mematuhi PKP.

"Audio tazkirah itu disediakan oleh Ibu Pejabat Jabatan Penerangan Malaysia, Putrajaya dan tazkirah yang disampaikan oleh penceramah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu berkisar kepada kelebihan bulan Ramadan sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail. Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail.



"Unit bergerak ini akan berada di kawasan penempatan seperti taman perumahan, rumah pangsa dan kampung bermula pukul 5 petang setiap hari sehingga PKP fasa empat tamat kecuali hari cuti," katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Menurut Azahar, pihaknya mengambil kesempatan untuk bersama-sama memeriahkan bulan Ramadan pada tahun ini kerana sambutan pada kali ini amat berbeza berikutan negara dilanda pandemik COVID-19 yang membataskan pergerakan selain tidak dibenar menganjurkan majlis berbuka puasa dan berterawih secara berjemaah.

"JaPen Terengganu turut menyediakan bungkusan juadah berbuka puasa kepada wakil penduduk untuk diagihkan kepada penduduk kampung terutama mereka yang terkesan dengan arahan PKP.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Ros Naini Arshad menyampaikan sumbangan juadah berbuka puasa kepada wakil penduduk, Hanafiah Ismail. Ros Naini (kiri) menyampaikan sumbangan juadah berbuka puasa kepada wakil penduduk, Hanafiah Ismail.



"Pihak jabatan telah melaksanakan sebanyak 5, 318 hebahan di seluruh negeri membabitkan 2, 005 kawasan bermula fasa pertama PKP hingga ke fasa ketiga dan kami mengharapkan orang ramai agar mematuhi PKP selain sentiasa berhati-hati dengan berita palsu yang tular dalam media sosial," tambahnya.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu Ros Naini Arshad, berkata Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu memulakan program RoW fasa keempat di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu kelmarin.

"Unit bergerak membuat hebahan agar orang ramai mematuhi arahan PKP dengan mengelilingi kampung dan berhenti di hadapan pasar mini bagi memperdengarkan tazkirah Ramadan.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu, Ros Naini Arshad. Ros Naini mengharapkan orang ramai terus mematuhi arahan PKP yang dikenakan ketika ini.



"Secara tidak langsung, RoW dapat menghidupkan suasana Ramadan selain menyebarkan maklumat mengenai pematuhan PKP," katanya.

Wakil penduduk Kampung Gong Baru Hanafiah Ismail, pula berkata tindakan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu dengan menggunakan unit bergerak untuk menyampaikan tazkirah amat dialu-alukan kerana pihak masjid tidak dibenar mengadakan aktiviti sepanjang perintah PKP ini.

Wakil penduduk Kampung Gong Baru, Hanafiah Ismail. Tazkirah yang diperdengarkan menghidupkan suasana Ramadan yang diraikan umat Islam ketika ini - Hanafiah Ismail.



"Dengan adanya tazkirah yang diperdengarkan oleh pihak Pejabat Penerangan, sekurang-kurangnya orang ramai dapat merasai suasana Ramadan walaupun negara sedang dilanda pandemik COVID-19," katanya.

-ii-