Pelajar UiTM Kongsi Pengalaman Terkandas di Kampus

Laporan/foto: Zayana Isa/Hafiz Khairon (Kuantan)

KUANTAN, 3 Mei (Malaysiaaktif) - "Seronok dan syukur," itulah antara yang diluahkan oleh Najah Adira Amrun, 22, yang dibawa pulang oleh pihak universiti setelah terkandas di kampusnya di Universiti Teknologi Mara, Cawangan Pulau Pinang setelah terkandas selama hampir sebulan.


Najah telah kongsikan pengalamannya kepada pemberita ketika ditemui sejurus selepas ketibaan beliau dan rakan-rakan di Terminal Sentral Kuantan, di sini hari ini.




Najah bersyukur dapat pulang ke kampungnya di Pasir Kemudi, Kuantan. Najah bersyukur dapat pulang ke kampungnya di Pasir Kemudi, Kuantan.


“Pada mulanya memang agak sedih kerana tidak boleh balik tetapi kebajikan kami dari segi makan dan minum terjaga bahkan kelengkapan diri juga disediakan oleh pihak universiti,” katanya.


Najah bersama 11 pelajar yang lain merupakan kumpulan pelajar pertama yang sampai di daerah ini selepas kerajaan membenarkan pelajar-pelajar yang terkandas di kampus di seluruh negara dibenarkan pulang dan dihantar secara berperingkat mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) yang perlu dipatuhi.


Bagi Mohd Faisal Mohd Rosli, 22, beliau dan rakan-rakan sekampus sentiasa memastikan langkah-langkah penjagaan diamalkan meskipun berada di dalam kampus.


“Keadaan di universiti sama sahaja seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kami memastikan jarak sosial dijaga terutama ketika beratur mengambil makanan,” katanya.


Katanya lagi, aktiviti di kampus juga dihadkan dan cuma tertumpu di dalam bilik sahaja.


Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal itu rasa bersyukur dan lega kerana dapat pulang ke kampung halaman dan bertemu keluarga.


Sementara itu, Pegawai Daerah Kuantan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah, berkata pelajar yang dibawa pulang ini perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan seperti mendaftarkan diri dengan pihak Sekretariat serta melalui saringan suhu badan.


“Setakat ini semua pelajar yang tiba di sini berada dalam keadaan sihat dan urusan penghantaran dan ketibaan pelajar juga berjalan lancar,” katanya.


-KN