PKPB – Fasa Penerimaan Normal Baharu Untuk Masyarakat

Laporan/foto: RA Othman (Marang)

MARANG, 17 Mei (Malaysiaaktif) - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) merupakan suatu fasa kelonggaran bersyarat yang dilaksanakan pada 4 Mei yang lalu bagi melatih dan memupuk persediaan rakyat Malaysia untuk mengadaptasi normal baharu dalam masyarakat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam fasa PKPB yang dilaksanakan, Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berterusan mengingatkan warga Marang supaya sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB yang akan berterusan sehingga 9 Jun 2020 dan tidak leka dengan kelonggaran yang diberi oleh kerajaan walaupun dalam bulan Ramadan.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, alumni ANSARA menyerahkan "Bakul Syawal" kepada Pegawai Daerah Marang. Timbalan Ketua Polis Terengganu, alumni ANSARA menyerahkan "Bakul Syawal" kepada Pegawai Daerah Marang.



“Separuh Ramadan telah berlalu dan pastinya membawa kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri, saya mohon supaya kita semua terus kekal berdisiplin mengikuti SOP PKPB tanpa mengabaikan keselamatan diri dan keluarga,” kata Tun Ahmad Faisal semasa menyempurnakan penerimaan agihan kebajikan Bantuan Aidilfitri daripada Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA Kuala Terengganu (ANSARA KTer) yang berlangsung di pekarangan Pejabat Daerah Marang.

Tambah beliau lagi, kejayaan warga Marang membiasakan diri menerima perubahan drastik normal baharu adalah satu penambahbaikan yang mesti diadaptasi dalam kehidupan seharian.

Pengurus Besar Hotel Primula Terengganu, Suaibah Harun menyerahkan pek bubur lambuk untuk agihan 60 keluarga miskin di Marang. Pengurus Besar Hotel Primula Terengganu, Suaibah Harun menyerahkan pek bubur lambuk untuk agihan 60 keluarga miskin di Marang.



“Penjagaan jarak sosial berterusan, pemakaian topeng muka, pengamalan penggunaan pensanitasi tangan dan tidak berkumpul beramai-ramai adalah antara normal baharu yang sedang diamalkan oleh semua rakyat Malaysia. Jadi, tanpa sedar PKPB sebenarnya telah mendidik kita secara tidak langsung untuk menghadapi cabaran besar dalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Dalam majlis ringkas serahan barangan bantuan, Tun Ahmad Faisal yang juga merupakan ahli ANSARA berbesar hati menerima sumbangan “Bakul Syawal” daripada ANSARA KTer yang diwakili oleh Timbalan Ketua Polis Terengganu Senior Asisten Komisioner, Rohaimi Md Isa dan juga sumbangan bubur lambuk daripada Pengurusan Hotel Primula Terengganu untuk diagihkan kepada 60 buah keluarga miskin dan memerlukan di sekitar daerah Marang.

Barangan keperluan asas dengan 10kg beras berserta bubur lambuk untuk diagihkan melalui MPKK masing-masing. Barangan keperluan asas dengan 10kg beras berserta bubur lambuk untuk diagihkan melalui MPKK masing-masing.



“Ini adalah sebahagian daripada program kebajikan yang dijalankan setiap tahun oleh ANSARA KTer. Program ini merupakan Projek Kasih Kita dengan kerjasama Koperasi ANSARA (KOMMIT), ANSARA Kter dan Malaysian Relief Agency (MRA) yang pada tahun ini menyasarkan golongan kurang bernasib baik di daerah Marang," katanya.

Penghulu Mukim Jerung, Azizi Ibrahim percaya bantuan yang diberi pastinya dapat meringankan beban keluarga miskin. Penghulu Mukim Jerung, Azizi Ibrahim percaya bantuan yang diberi pastinya dapat meringankan beban keluarga miskin.



Turut hadir di majlis ini ialah CEO GPQ Sdn Bhd, Mohd Nasir Awang, Pengurus Besar Hotel Primula, Suaibah Harun, Pengurus Operasi Mysfitagrotek, Mohd Supardini Muda, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu, Suhairy Sulong dan Che Rohaya Abd Wahab, peniaga berjaya yang kesemuanya merupakan alumni MRSMKT.

-ii-