Kemasukan Percuma kepada 3,800 Kursus Dalam Talian untuk Rakyat Malaysia

PUTRAJAYA, 21 Mei (Malaysiaaktif) - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menggesa rakyat Malaysia yang terkesan akibat kejatuhan ekonomi susulan pandemik COVID-19 dan sedang mencari pekerjaan baru untuk mendaftar mengikuti kursus digital dan kemahiran data secara dalam talian.

Ketua Pegawai Pemasaran MDEC Raymond Siva berkata, MDEC dengan kerjasama bersama platform pembelajaran dalam talian global, Coursera menerusi Jom Belajar Digital di bawah inisiatif #mydigitalworkforce menawarkan sejumlah 3,800 kursus termasuk Sijil Latihan Profesional melalui permohonan sehingga 31 Dis tahun ini.

“Terdapat 3,800 kursus yang diajar oleh universiti utama dunia dan pengajar industri yang meliputi kemahiran digital kritikal yang diperlukan pasaran kerja masa kini.

Inisiatif ini termasuklah sijil profesional yang direka khas untuk mereka yang terlatih untuk pekerjaan yang amat diperlukan di bawah normal baru,” katanya dalam temuramah bersama Bernama TV menerusi Skype untuk penerbitan dokumentari bertajuk Malaysia Bersatu vs COVID-19.

Dokumentari itu akan disiarkan pada 9 malam 23 Mei, meliputi pandemik COVID-19 di Malaysia dan usaha orang ramai dan kerajaan dalam mengekangnya.

Raymond berkata, antara kursus yang ditawarkan termasuklah Automasi IT Google dengan Python, Pengaturcaraan SAS, dan Pengenalan Intel ke Pembelajaran Dalaman, selain laluan kerjaya yang boleh dicapai oleh pelajar seperti analisis data, arkitek cloud dan pembangun perisian.

Beliau menjelaskan MDEC yang memfokuskan tiga teras utama iaitu meningkatkan kemahiran digital rakyat, mendigitalkan perniagaan dan menarik pelaburan digital merupakan satu progam yang baik untuk rakyat Malaysia belajar kemahiran baru dan bersedia untuk bekerja dalam ekonomi digital sewaktu pemulihan pandemik COVID-19.

Pendaftaran untuk kempen Jom Belajar Digital boleh dilakukan di www.mdec.my/letslearndigital.

Sementara itu, Raymond berkata, MDEC berjaya mengutip RM30,000 sebagai sokongan menghasilkan dan menghantar peralatan perubatan dan bekalan kepada barisan hadapan yang telah bekerja keras dalam mendatarkan lengkungan dan mengurangkan jangkitan COVID-19.

MDEC bekerjasama rapat dengan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan platform korporat menerusi ‘Crowdfunding’ untuk mengutip dana.

-- BERNAMA