Penentuan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Berdasarkan Pasaran Semasa

PUTRAJAYA, 21 Mei (Malaysiaaktif) - Penentuan item dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bagi sambutan Aidilfitri dibuat berdasarkan kepada penilaian pasaran semasa jenis barangan berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata oleh itu, ada beberapa barangan yang pernah tersenarai dalam skim tersebut pada tahun sebelumnya tidak dimasukkan kali ini.

“Kita memantau turun naik harga barangan seperti bawang, sayur, ikan dan sebagainya sejak tahun 2009. Apabila turun naik harga barang tidak melampau dalam satu tempoh masa, maka kita lihat tiada tekanan terhadap harga barangan berkenaan.

“Untuk skim harga maksimum bagi perayaan kali ini, kita sebenarnya pantau lebih 30 jenis barangan malah kita ada senarai item tambahan untuk turut dikawal harganya jika perlu bagi memberi jaminan kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pematuhan peniaga di Pasar Moden Seksyen 6 terhadap skim harga maksimum di sini hari ini.

Beliau berkata skim harga maksimum bagi senarai item tambahan boleh dikuatkuasakan pada bila-bila masa sepanjang musim perayaan bagi melindungi pengguna sekiranya ada tanda-tanda harga barangan tersebut akan dinaikkan.

Pada Selasa lepas, KPDNHEP mengumumkan 11 barang kawalan bagi sambutan Aidilfitri selama 15 hari bermula semalam sehingga 3 Jun manakala untuk Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pula, masing-masing turut melibatkan 11 barangan dan akan bermula pada 28 Mei sehingga 3 Jun.

Antara barangan kawalan bagi perayaan Aidilfitri ialah telur ayam, ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan dan import serta kelapa biji selain kelapa parut.

Mengulas bawang merah yang tidak tersenarai dalam skim kawalan harga musim perayaan namun merupakan ‘ramuan’ utama masakan sempena Aidilfitri, Hasnol Zam Zam berkata tinjauannya di pasar raya mendapati bahan itu dijual pada kadar RM1.50 sekilogram berbanding RM6 sekilogram di pasar awam.

“Penentuan harga barangan ini bergantung kepada lokasi dan model perniagaan penjualnya. Pasar raya biasanya ambil dalam kuantiti yang banyak dan ada kontrak jangka panjang dengan pembekal maka mereka boleh jual pada harga lebih rendah berbanding pasar awam.

“Jadi pengguna harus bijak dalam membuat pilihan dan pertimbangan ketika membeli barangan keperluan,” katanya.

-- BERNAMA