PKPD Pasar Jalan Othman Tamat Hari Ini

Laporan/foto: Luqman Hakim (Petaling)/ IPD Petaling Jaya

SHAH ALAM, 21 Mei (Malaysiaaktif) - Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di semua kawasan Pasar Jalan Othman telah tamat pada jam 12 tengah malam tadi setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melengkapkan saringan kepada semua penduduk di kawasan tersebut.

Proses membuka semua kawat duri yang dipasang di kawasan PKPD Pasar Jalan othman dilakukan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata seramai 616 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi terlibat dalam misi ini.

PKPD Jalan Othman tamat malam tadi. PKPD Jalan Othman tamat malam tadi.



“Ia termasuk 312 anggota dan pegawai PDRM, 204 anggota ATM serta beberapa anggota daripada agensi lain,” katanya dalam sidang media malam tadi.

Katanya, dalam tempoh PKPD sejak 10 Mei lalu, KKM telah menyaring 2,532 orang penduduk di Pasar Jalan Othman yang mana 848 daripadanya adalah warga asing.

“Hasil saringan mendapati seorang warga tempatan dikesan positif Covid,19, manakala 13 lagi masih dalam proses menunggu.

“PDRM berpuas hati terhadap kerjasama yang diberikan penduduk sepanjang tempoh tersebut dengan tahap pematuhan terhadap PKPD yang mencapai 99 peratus.

Operasi yang dijalankan Pegawai IPD Petaling Jaya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), MBPJ serta beberapa agensi lain. Operasi yang dijalankan Pegawai IPD Petaling Jaya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), MBPJ serta beberapa agensi lain.



“Mereka dilihat sudah terbiasa dengan amalan normal baru dan pihak polis kekal berjaga-jaga dengan melakukan pemantauan berterusan biar pun PKPD telah ditamatkan” ujarnya.

Ujar beliau, penduduk dinasihatkan agar mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutamanya ketika musim perayaan nanti.

“Pemeriksaan rumah ke rumah juga akan dilakukan sepanjang perayaan bagi memastikan tiada masyarakat berkumpul serta menjayakan misi larangan rentas sempadan negeri” katanya.

-SH