Gereja Terus Ditutup Sehingga PKP Ditamatkan Sepenuhnya

Foto: Ihsan Astro Awani

PUTRAJAYA, 22 Mei (Malaysiaaktif) - Gereja terus ditutup sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sepenuhnya walaupun kerajaan dalam pengumuman terbaharu membenarkan rumah ibadat bukan Islam di kawasan zon hijau dibuka semula pada 10 Jun.

Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Rev Dr Hermen Shastri berkata sama ada gereja akan dibuka semula pada 10 Jun, keputusan itu akan dikaji dengan bijaksana apabila tiba masanya.

“Kami berusaha untuk mengutamakan keselamatan orang ramai sebagai tanggungjawab kerohanian terpenting kami. Keadaan terkini masih sangat tidak menentu dan tidak stabil,” katanya dalam kenyataan semalam.

Hermen berkata, buat masa ini, perkhidmatan ibadah pada Ahad akan terus ditawarkan menerusi penstriman dalam talian.

-- BERNAMA