Wisma Putra Cari Penerbangan Bawa Pulang Pelajar Malaysia di UK



PUTRAJAYA, 22 Mei (Malaysiaaktif) - Kementerian Luar akan membawa pulang beberapa pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) yang berhasrat pulang ke negara ini dalam masa terdekat, tetapi berhadapan dengan masalah penerbangan.

Wisma Putra, dalam kenyataan hari ini, berkata pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan tiket penerbangan dengan Qatar Airways yang masih menawarkan penerbangan ke Kuala Lumpur dari London dan transit di Doha, selepas British Airways membatalkan semua penerbangan mereka ke Kuala Lumpur sepanjang bulan Jun.

“Malaysia Airlines dijangka hanya akan menyambung operasi mereka di London sekitar awal Julai 2020. Terdapat beberapa pelajar yang terkesan dengan perkara ini dan telah mengemukakan aduan bertulis kepada Malawakil London,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, Malawakil London memaklumkan bahawa dakwaan terdapat 1,500  pelajar di UK yang berhasrat untuk pulang ke Malaysia dalam masa dua bulan akan datang adalah tidak benar.

“Hanya 200 pelajar telah menyatakan hasrat untuk pulang pada bulan ini manakala 631 pelajar ingin pulang bulan depan. Majoriti mereka merupakan pelajar tahun ketiga dan tahun akhir serta pelajar lepasan ijazah.

“Tarikh peperiksaan akhir adalah antara pertengahan Mei dan pertengahan Jun ini (bergantung kepada institusi pengajian masing-masing),” katanya.

Katanya, kerajaan UK hari ini mengumumkan pelanjutan visa sehingga 31 Mei ini bagi mereka yang tamat visa sejak 24 Jan lepas dan tidak dapat meninggalkan negara tersebut berikutan penularan wabak COVID-19.

“Keputusan sama ada tarikh tersebut akan dilanjutkan lagi selepas 31 Mei ini hanya akan dapat diketahui menjelang tarikh tersebut,” katanya.

Wisma Putra berkata pelajar yang menduduki peperiksaan kebanyakannya masih mempunyai visa yang sah.

“Sehubungan itu, tempoh akhir pelanjutan visa sehingga 31 Mei ini yang diumumkan oleh kerajaan UK sepatutnya tidak melibatkan para pelajar tersebut.  Malah pelajar yang belajar di UK lebih daripada 12 bulan akan dibenarkan untuk terus tinggal di sana sehingga empat bulan selepas tarikh akhir kursus pengajian,” jelas kenyataan itu.

-- BERNAMA