Agensi Agama Diseru Perkukuh Tiang Seri Negara

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/JAWI Labuan

LABUAN, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Agensi agama diseru untuk terus memperkukuhkan tiang seri negara iaitu Islam sebagai agama rasmi.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, ada pihak yang cuba menggugat tiang seri negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Kita mendengar bagaimana institusi agama diperlekehkan sehingga ada yang mengatakan agensi-agensi ini perlu ditutup kerana kewujudannya dikatakan membazir.

“Kita berperanan menyambung usaha para nabi untuk mengajak manusia keluar dari kegelapan kepada cahaya hidayah Allah, oleh itu Islam perlu memimpin dan kefahaman tentang Islam perlu ditingkatkan sehingga masyarakat meyakini bahawa kita mampu untuk memimpin negara ini,” katanya.

Usaha itu katanya memerlukan dokongan semua anggota agensi agama untuk mencapai satu titik pertemuan iaitu Islam memimpin.

Seorang peserta terlibat program mengutarakan pandangan ketika sesi dialog berlangsung. Seorang peserta terlibat program mengutarakan pandangan ketika sesi dialog berlangsung.



“Kita perlu bersungguh-sungguh memberi sumbangan kepada perkembangan agama Islam dalam negara ini dan kita jangan takut dengan celaan bila buat kerja Islam kerana itu adalah halangan utama untuk melunturkan semangat istiqomah bersama dalam kerja Islam.

“Anda semua adalah insan terpilih untuk membantu agensi agama dalam meletakkan agama Islam berada di kedudukan tertinggi di negara ini,” katanya semasa sesi dialog awam bersama anggota agensi agama, di sini pagi tadi.

Beliau turut mengajak agensi-agensi agama untuk memperkasa perkhidmatan yang ada di bawah bidang kuasa agensi masing-masing.

“Kita memikul amanah yang besar dan berbeza dengan agensi kerajaan yang lain, persoalan dakwah dan perkembangan Islam adalah persoalan kita dan bergantung kepada komitmen semua anggota agensi-agensi agama.

“Kita semua berperanan mempertahankan peranan agama, memperbetulkan penyelewengan pemahaman agama dan bertegas dalam kepentingan agama,” jelasnya.

-SH