Perusahaan Padi Organik Punyai Potensi Besar

Laporan/foto: Siti Yusmila (Sik)

SIK, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Perusahaan padi organik di negara ini masih berada pada tahap minima meskipun tanaman ini punyai potensi besar untuk diketengahkan.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Che Abdullah Mat Nawi, usaha penanaman padi organik amat baik dan perlu diteruskan kerana bidang pertanian ini sangat luas.

“Ianya satu usaha yang sangat baik dan tahniah diucapkan kepada semua usahawan dan aktivis pertanian organik ini dan pihak kementerian amat menitik berat dalam memastikan bekalan makanan negara mencukupi,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Institut Pengurusan Pertanian Organik Bersepadu Kedah Darul Aman (INSPEK) di Sri Lovely Paddy Organic di Kampung Lintang, di sini semalam.

Che Abdullah turut menyeru anak-anak muda yang meminati pertanian untuk menceburi bidang ini.

"Bagi generasi muda yang suka meneroka perkara-perkara baharu dan juga graduan-graduan yang belum mempunyai pekerjaan tetap mereka boleh mencuba bidang ini,” katanya.

INSPEK, bukan sahaja mengusahakan tanaman padi organik malah turut menjadi pusat latihan dengan menerima pelatih baharu dan muda yang meminati pertanian organik.

Pusat ini mendapat sambutan yang hebat bukan sahaja dari warga tempatan, malah pelajar-pelajar dari luar negara yang ingin mendalami ilmu bidang pertanian organic, seramai lebih kurang lima ribu pelajar tempatan dan dua ribu pelajar antarabangsa telah menjalani kursus jangka pendek selama tiga bulan di sini.

-SH