Ahmad Tarmizi Pengerusi Baharu MADA

Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)

SIK, 23 Jun (Malaysiaaktif) - Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkuatkuasa 16 Mei yang lalu bagi merancakkan sektor pertanian di Kedah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pemilihan Ahmad Tarmizi dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahmad Tarmizi menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih di atas pelantikannya terutamanya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui MADA dan berikrar untuk meningkatkan lagi taraf hidup golongan pesawah yang banyak membantu sektor pertanian negara.

"Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan padi dan beras negara,  MADA akan mencari jalan terbaik bagi meningkatkan produktiviti sehingga mampu mencapai target 75% pengeluaran padi negara serta mengurangkan eksport beras pada masa hadapan.

"Bertepatan dengan cabaran pertanian semasa, MADA akan melipat gandakan usaha dengan sentiasa turun ke kawasan bertemu dengan para peladang bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh pesawah serta apa-apa halangan yang boleh diatasi bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan kementerian sendiri," ujarnya ketika ditemui dalam sidang media selepas lawatan kerja ke MADA, di sini baru-baru ini.

Ahmad Tarmizi merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang Universiti Malaya serta turut memiliki kelulusan Diploma in Syariah Law and Practice Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Diploma Pendidikan Islam dan Bahasa Arab Institut Perguruan Islam Darul Aman (IPDA).

Jawatan Pengerusi MADA sebelum ini disandang bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum beliau meletakkan jawatan pada 17 Mei lalu.

-SH