Pelaksanaan SRS Mengikut SOP

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

PADANG BESAR, 24 Jun (Malaysiaaktif) - Kerajaan telah meluluskan Garis Panduan Pelaksanaan Tugas Rondaan di Zon Hijau oleh Skim Rondaan Sukarela (SRS) baharu-baharu ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan yang menyaksikan anggota SRS dibenar melakukan rondaan bermula 20 Jun 2020.

Menurut Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis Siti Berenee Yahaya, semua anggota SRS di Negeri Perlis diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Anggota SRS yang melakukan rondaan dan kawalan berskala kecil dalam tempoh PKPP ini perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum bertugas, memakai pelitup muka dan juga menggunakan pensanitasi tangan.

Siti Berenee Yahaya bergambar bersama anggota polis dan SRS yang melakukan rondaan. Siti Berenee Yahaya bergambar bersama anggota Polis dan SRS yang menjalankan rondaan.



"Saya berharap mereka akan komited dalam menjalankan tugasan yang telah diamanahkan kerana ini merupakan tanggungjawab yang perlu digalas bersama demi menjaga keselamatan masyarakat setempat," katanya ketika merasmikan Program Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Zon Hijau, di sini, semalam.

Siti Berenee memaklumkan, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan anggota-anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga merupakan sebahagian daripada petugas barisan hadapan yang menjalankan aktiviti rondaan bersama-sama dengan anggota Polis dan Tentera.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Supritendan Saifudin Aslin Abbas berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) berterima kasih kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) atas inisiatif yang dilaksanakan.

"Pihak PDRM akan sentiasa membantu SRS bagi menjayakan aktiviti rondaan ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah JPNIN Perlis Rosli Alias, berkata buat permulaan hanya 19 buah kawasan SRS di zon hijau akan terlibat untuk aktiviti rondaan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan.

"Rondaan akan dijalankan seperti biasa namun mereka perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan KKM dalam memastikan zon hijau terus kekal hijau dan selamat daripada penularan wabak COVID-19, " katanya.

-NI-