Teruja dan Gementar Pada Hari Pertama Sekolah

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Ramlen Salleh (Labuan)/RTM Labuan

LABUAN, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Perasaan teruja bercampur gementar dirasai segelintir pelajar yang hadir ke sekolah buat pertama kali selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut seorang pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, Rabiatul Adawiah Hafanan, 19, merasa teruja kerana sudah lama tidak bertemu guru-guru dan rakan-rakan serta tidak sabar memulakan sesi pembelajaran di kelas.

“Walaubagaimanapun saya juga merasa sedikit takut dan gementar kerana sudah lama duduk di rumah dan ini pertama kali saya bersosial bersama-sama rakan sekolah dalam satu kawasan yang sama,” katanya ketika ditemui media pagi semalam.

Beliau turut berharap tiada kes jangkitan baharu di Labuan selepas ini dan semua pelajar kekal sihat dengan mematuhi segala prosedur dan norma baharu yang diarahkan oleh kerajaan.

Para pelajar diberi tunjuk ajar cara membersihkan tangan dengan betul sebelum memasuki kelas. Para pelajar diberi tunjuk ajar cara membersihkan tangan dengan betul sebelum memasuki kelas.



Seorang lagi pelajar Tingkatan 6 sekolah sama, Sharon Joey Henry, 19, merasa sedikit gementar apabila perlu menjalani proses pembelajaran di kelas dengan norma baharu.

“Sebelum ini kami bebas bergaul bersama kawan-kawan tetapi kali ini kami perlu biasakan dengan norma baharu seperti penjarakan sosial setiap masa.

“Saya nasihatkan semua rakan-rakan untuk terus amalkan kebersihan diri seperti selalu mencuci tangan, memakai pelitup dan mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan untuk terus bebas daripada jangkitan COVID-19,” jelasnya.

Para pelajar Tingkatan 6 menjalani sesi pembelajaran dengan norma baharu. Para pelajar Tingkatan 6 menjalani sesi pembelajaran dengan norma baharu.



Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Labuan, Md Yusof Chuchu, berkata pembukaan sekolah merupakan satu yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan ibu bapa.

“Perasaan saya sendiri sebagai ibu-bapa sangat gembira kerana sejak sekian lama sekolah ditutup semasa pelaksanaan PKP kini para pelajar boleh memulakan proses pembelajaran seperti biasa.

“Penularan wabak COVID-19 memang meninggalkan kesan kepada kehidupan kita semua tetapi dengan kerjasama semua pihak terutama pihak berkuasa berjaya membendung wabak ini menular dengan lebih banyak terutamanya di wilayah ini,” katanya.

Kira-kira 1181 orang murid tingkatan 5 dan 6 di sembilan buah sekolah menengah di Labuan memulakan sesi persekolahan sejak semalam.

-SH