Masyarakat Luar Bandar Perlu Dapat Kemudahan Komunikasi Sama Seperti di Bandar

Foto: Kementerian Komunikasi dan Multimedia

PUTRAJAYA, 28 Jun (Malaysiaaktif) - Masyarakat luar bandar perlu mendapat kemudahan komunikasi setaraf dengan orang bandar agar mereka tidak ketinggalan dari segi maklumat dan pengetahuan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kerajaan memberi dekoder MYTV secara percuma kepada masyarakat luar bandar khususnya keluarga B40 dan golongan kurang upaya (OKU) agar mereka mendapat informasi terkini.

“Pengetahuan adalah aset, tanpanya kita tidak boleh hidup atas dunia ini,” katanya ketika berucap pada program [email protected] Komuniti di Dewan Kemas, Alor Tampan, Santan di Perlis semalam.

Zahidi sebelum itu menyampaikan dekoder MYTV kepada 25 penerima.

Katanya bermula pertengahan 2018, MYTV telah memperuntukkan sebanyak dua juta dekoder kepada golongan B40 dan sehingga Mei 2020 sejumlah 1.87 juta  unit dekoder telah diagihkan.

“Pada Mei tahun ini, kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memperuntukkan sebanyak 300,000 unit dekoder untuk diagihkan kepada golongan B40 dan OKU,” katanya.

Dalam pada itu, Zahidi yang ditemui pada sidang media kemudian berkata kerajaan sentiasa berusaha menambah baik  kemudahan jalur lebar di kawasan luar bandar secara berperingkat.

Katanya terdapat beberapa kawasan di luar bandar masih belum ada capaian jalur lebar dan kerajaan sedang berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk memperluas jaringan capaian Internet di luar bandar agar rakyat mendapat maklumat yang sahih.

“Kita tidak mahu berita tidak sahih sampai kepada rakyat kerana ianya boleh mengudang kepada keresahan,” katanya.

-- BERNAMA