Rakyat Malaysia, Warga Asing Perlu Tanggung Kos Saringan COVID-19 Mulai Hari Ini

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 29 Jun (Malaysiaaktif) - Bermula hari ini, rakyat Malaysia dan warga asing yang masuk ke negara ini perlu menanggung sendiri kos ujian saringan COVID-19 setibanya di Malaysia.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, tiga kategori individu akan diberi pengecualian daripada membayar kos ujian itu termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan Kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dua lagi kategori ialah pegawai kerajaan yang kembali dari luar negara atas tugasan rasmi dan pelajar yang pulang dari luar negara bagi kali pertama sahaja, dan perlu mengemukakan bukti pengajian.

“Bagi tiga kategori ini, jika mereka telah membayar caj ujian saringan sebelum keputusan pengecualian ini dibuat, mereka boleh menuntut semula caj daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).” katanya pada sidang media harian hari ini.

Dilaporkan sebelum ini, caj ujian saringan COVID-19 bagi warga Malaysia yang pulang ke negara ini, adalah antara RM30 hingga RM150 manakala warga asing pula dikenakan caj antara RM60 hingga RM250.

-- BERNAMA