COVID-19 : Kes Baharu Hanya Satu Angka

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 30 Jun (Malaysiaaktif) - Kes jangkitan COVID-19 di negara kembali mencatatkan satu angka apabila tiga kes baharu dilapor hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 8,637 kes dengan kebolehjangkitan 182 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes merupakan penularan dalam negara manakala satu lagi kes import.

"Satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan warganegara Malaysia manakala kedua-dua kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warganegara juga," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini semalam.

Memperincikan kes penularan dalam negara, beliau berkata satu kes dikesan di Selangor melalui saringan praprosedur bagi rawatan penyakit barah darah dan satu kes saringan tempat kerja iaitu di pasar di Sandakan, Sabah.

Noor Hisham berkata sehingga kini, sebanyak empat kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, hanya satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata tiada pertambahan kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes, mewakili 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, seramai 4,437 orang dalam pengawasan (PUS) daripada 5,909 orang yang discaj dari pusat kuarantin pada 10 Jun lepas menjalani ujian COVID-19 di klinik kesihatan atau klinik swasta pada hari ke-13.

"Daripada jumlah itu, tiga kes telah dikesan positif COVID-19, sementara seramai 1,472 orang masih perlu menjalani ujian COVID-19 hari ke-13," katanya.

Beliau berkata hukuman boleh dikenakan ke atas individu yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di bawah Seksyen 24, Akta 342.

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bersama agensi lain yang terlibat telah diberi kuasa untuk mencari dan mengambil tindakan ke atas individu yang didapati melanggar syarat di bawah perintah ini... mereka boleh dikenakan denda atau dipenjarakan atau kedua-duanya," kata beliau.

Justeru Noor Hisham menyeru pengembara yang pulang ke Malaysia supaya terus memberi kerjasama kepada pihak Kementerian Kesihatan dan patuh kepada syarat di bawah perintah itu.

"Ahli keluarga kepada individu yang diletak di bawah HSO juga perlulah memainkan peranan dengan menasihati dan memastikan mereka akur serta tidak melanggar arahan sehingga boleh mengakibatkan mereka dikenakan hukuman,” katanya.

-- BERNAMA