Malaysia Catat Lebihan Dagangan Lebih Tinggi kepada RM10.4 Bilion Bagi Mei 2020

PUTRAJAYA, 30 Jun (Malaysiaaktif) - Lebihan dagangan Malaysia bagi Mei 2020 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 14.7 peratus tahun ke tahun kepada RM10.41 bilion sekali gus merupakan lebihan dagangan tertinggi yang dicatatkan bagi bulan itu sejak Mei 2008.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata berasaskan prestasi Mei 2020 itu, Malaysia merekodkan lebihan dagangan melebihi RM10 bilion bagi kali keempat pada 2020.

Beliau berkata bagaimanapun jumlah perdagangan pada Mei 2020 susut 27.8 peratus kepada RM114.96 bilion, berbanding Mei 2019 dengan perdagangan lebih rendah direkodkan terutama dengan Singapura, Thailand, India, China, Jepun dan Indonesia.

“Prestasi ini adalah selari dengan negara-negara serantau lain yang merekodkan penurunan pertumbuhan perdagangan pada Mei 2020 berikutan pandemik COVID-19 yang terus memperlahankan aktiviti ekonomi secara global.

“Eksport berjumlah RM62.69 bilion, menyusut 25.5 peratus manakala import berkurang 30.4 peratus kepada RM52.27 bilion,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata berbanding April 2020, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing susut sebanyak 13.7 peratus, 3.2 peratus dan 23.6 peratus.

Perdagangan Malaysia bagi lima bulan pertama 2020 mencatatkan pengurangan sebanyak 8.7 peratus kepada RM688.57 bilion berbanding tempoh yang sama 2019, katanya.

Beliau berkata perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Thailand, Singapura, India, China dan Hong Kong manakala kenaikan perdagangan dicatatkan dengan Korea Selatan dan Indonesia.

“Eksport bagi tempoh tersebut menurun 9.7 peratus kepada RM366.16 bilion dan import berkurang 7.5 peratus kepada RM322.41 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM43.75 bilion, menurun 23 peratus berbanding tempoh yang sama 2019,” katanya.

Mohamed Azmin berkata eksport keluaran getah terutama sarung tangan getah mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi dua bulan berturut-turut, meningkat 20.5 peratus atau RM461 juta pada Mei 2020.

Prestasi itu disumbangkan oleh peningkatan permintaan sarung tangan getah yang mendapat kelebihan daripada pandemik tersebut, katanya.

-- BERNAMA