Program KRT Bakal Melalui Proses Peremajaan untuk Satu Padu Rakyat

Foto: Kementerian Perpaduan Negara

PUTRAJAYA, 30 Jun (Malaysiaaktif) - Kementerian Perpaduan Negara akan menampilkan satu modul khusus dalam usaha meremajakan program Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di samping menarik penglibatan lebih ramai peserta dalam kalangan masyarakat.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata modul itu harus menjadikan aspek perpaduan sebagai satu kebiasaan bagi menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Beliau berkata ini kerana perpaduan sebelum ini kelihatan hanya diberi perhatian apabila dirasakan perlu sahaja, dan apabila tiada keperluan, ia tidak diberi perhatian.

“Kita buat ala kadar, setakat untuk nyatakan kepada masyarakat bahawa ada usaha (program) tetapi usaha itu tidak begitu tertumpu. Jadi, apabila saya sampai ke kementerian ini, perkara pertama yang saya buat ialah berbincang dengan Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah mengenai apa yang perlu dilakukan untuk meremajakan KRT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Aspirasi Perpaduan Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PERSADA) Johor, semalam, dan majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Dr. Chong Fat Full.

Mengulas lanjut, Halimah berkata aspek perpaduan adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan hanya atas kerajaan semata-mata.

“Jadi untuk proses pemilihan KRT akan datang, kita akan buka kuota untuk semua kaum kerana kita mahu semua pihak memainkan peranan dan memberi sumbangan yang sama bagi membantu KRT bergerak pantas dan menjadi luar biasa,” kata Ahli Parlimen Kota Tinggi itu.

Menurut Halimah, pihaknya juga merancang untuk menukar cara penilaian keberkesanan KRT di sesebuah kawasan kerana penilaian dahulu hanya dibuat berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan oleh KRT dan bukan melihat keberkesanan kewujudannya.

Dengan penilaian baharu itu, pihaknya berharap akan dapat menambah baik KRT yang tidak aktif kerana ketika ini, terdapat sejumlah 974 kawasan dikenalpasti.

Berdasarkan rekod, terdapat 8,274 KRT di seluruh negara dengan Johor sahaja mempunyai 814 KRT.

Dalam pada itu, Halimah turut mengumumkan tambahan jumlah kadar agihan geran tahunan KRT sebanyak RM500 bagi setiap kawasan melibatkan kos keseluruhan RM38.1 juta. Sebelum ini, setiap KRT akan menerima geran antara RM2,000 hingga RM6,000.

-- BERNAMA