Skim Rondaan Sukarela Dibenarkan Beroperasi

Laporan/foto: Afnan Hakimi (Marang)/Aki Yama

MARANG, 30 Jun (Malaysiaaktif) - Mesyuarat Khas Menteri-Menteri telah meluluskan Garis Panduan yang dibentangkan oleh Kementerian Perpaduan mengenai Pelaksanaan Tugas Rondaan di Zon Hijau dan Skim Rondaan Sukarela dan mesyuarat bersetuju supaya tarikh operasi SRS bermula pada 20 Jun dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pemeriksaan suhu badan sebelum rondaan dilakukan. Pemeriksaan suhu badan sebelum rondaan dilakukan.



Sehubungan itu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tebakang telah memulakan rondaan pertama baru-baru ini atas prinsip 'kesukarelaan' yang dilaksanakan di kawasan ini dengan mematuhi SOP yang disediakan. Dua Zon Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Tebakang telah terpilih untuk pelaksanaan SRS PKPP ini dengan jumlah keseluruhan 98 SRS di seluruh Terengganu.

Rondaan berbasikal oleh anggota peronda SRS juga turut diperkenalkan dan penggunaan ‘Smart Phone Walkie Talkie’ digunakan, seiring dengan kemodenan gajet masa kini bagi memudahkan anggota peronda berinteraksi.

Ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.



Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Marang, Samri Idris telah memberikan penerangan ringkas kepada semua anggota berkaitan SOP yang telah disediakan iaitu sebelum, semasa dan selepas rondaan dilakukan dan turut memuji kesanggupan anggota masyarakat setempat yang menganggotai SRS kerana berkorban masa dengan menjalankan rondaan pada waktu malam.

“Peranan SRS juga dilihat mampu membawa perubahan positif dalam usaha menyatupadukan penduduk atau pemastautin di sesebuah kawasan dan menimbulkan rasa selamat dalam kalangan mereka yang menetap di sesuatu kawasan.

Penerangan ringkas oleh Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Marang, Samri Idris. Penerangan ringkas oleh Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Marang, Samri Idris.



“Terima kasih tidak terhingga kepada penduduk yang sanggup bersengkang mata mencegah jenayah, terutamanya melibatkan jenayah harta benda seperti curi kenderaan dan pecah rumah. Apa yang dilakukan oleh penduduk di setiap kawasan merupakan satu tugas mulia, selain dapat mewujudkan hubungan erat antara masyarakat dan polis,” katanya.

Beliau juga menasihatkan para anggota yang terlibat supaya sentiasa menjaga keselamatan, semasa menjalankan tugas rondaan, dan tidak mengambil tindakan sendiri mahupun di luar daripada standard operasi prosedur (SOP) yang telah diperuntukkan kepada mereka.

Dalam pada itu, Ketua Peronda SRS Kampung Tebakang Karim Ibrahim, menyifatkan penubuhan pasukan SRS bukan sahaja dapat membendung jenayah seperti kecurian, pecah rumah dan dadah malah dapat mengawal keselamatan penduduk setempat.

Ketua peronda SRS Kampung Tebakang, Karim Ibrahim mengingatkan ahli SRS sebelum memulakan rondaan. Ketua peronda SRS Kampung Tebakang, Karim Ibrahim mengingatkan ahli SRS sebelum memulakan rondaan.



"Pasukan SRS bukan sahaja menjaga keamanan dan keselamatan kampung dan taman, malah mengadakan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan dalam usaha menyatupadukan penduduk.

"Sukacita saya ingatkan ahli-ahli SRS agar tidak menyalahgunakan kuasa melebihi tugasan polis, sebaliknya mereka hanya boleh menahan penjenayah yang ditangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Rondaan berbasikal. Rondaan berbasikal.



Hadir sama pada rondaan kali pertama ini adalah Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tebakang, Mohd Zaki Deraman.

-ii-