Ziarah Sinar Kasih Musa'adah COVID-19 Santuni Golongan Asnaf

Laporan/foto: Norhaidah Md Esa (Port Dickson)/Sukarelawan al-Rahmah

PORT DICKSON, 29 Jun (Port Dickson) - Seramai 98 orang asnaf di Negeri Sembilan menerima sumbangan barangan keperluan harian melalui program Ziarah Sinar Kasih Musa’adah COVID-19 yang menjelajah ke beberapa daerah di Negeri Sembilan, pada Sabtu lalu.

Program selama dua hari tersebut telah menjelajah ke enam buah lokasi bermula dari Port Dickson, Seremban, Rembau, Jelebu, Jempol dan berakhir Kuala Pilah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof, berkata beliau amat menghargai usaha badan sukarelawan yang terlibat dan pihaknya menyokong penuh usaha mereka ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi dan badan NGO yang terlibat dalam program turun padang serta menyantuni mereka yang memerlukan, pihak DUN Pertang amat mengalu-alukan kerjasama bersama sekiranya program ini di adakan di masa hadapan,” ujarnya ketika ditemui semasa jelajah di Jelebu.

WhatsApp Image 2020-06-30 at 11.01.39 Noor Azmi (barisan hadapan tengah) dan Khairul Nizam Khairuddin (kiri) bersama pemimpin setempat dan sukarelawan yang terlibat.



Program tersebut merupakan anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sembilan, badan Sukarelawan Al Rahmah (SAR), Kelab Sains dan Inovasi Port Dickson (KSIPD), Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Negeri Sembilan dan NGO MyFundAction.

Ketua Penyelaras program, Khairul Nizam Khairuddin, berkata program jelajah ini telah diadakan secara berperingkat mengikut daerah sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Buat julung kalinya, selama dua hari berturut-turut kami menjelajah ke daerah yang terlibat dan akan diteruskan pada siri kedua program ini," katanya.

Tambah Khairul lagi, beliau berharap program ini dapat membuka mata badan sukarelawan dan agensi yang lain bahawa masih ada lagi masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meringankan beban kehidupan seharian.

“Harapan kami agar pihak berwajib, agensi dan NGO tempatan lebih peka kepada golongan sasar dan mengambil cakna bagi tujuan membantu masyarakat yang memerlukan," ujarnya.

-AK