Helikopter Unit Udara PDRM Bantu Kesan Bot Hanyut di Kelantan

PUTRAJAYA, 30 Jun (Malaysiaaktif) - Polis Kelantan memohon bantuan helikopter daripada Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan bot yang terbalik selepas dibadai ribut kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata bantuan helikopter itu diperlukan kerana pihaknya tidak dapat mengesan bot yang hanyut kerana faktor arus dan angin di laut, selain pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dihubungi kerana berada di luar kawasan liputan.

"Jalan seterusnya saya baharu hubungi Bukit Aman untuk menggunakan khidmat helikopter bagi mengesan bot yang hanyut. Sama-sama kita doakan agar ia ditemukan dengan segera," katanya kepada pemberita di Jeti Projek Pemasaran Ikan di Kuala Kemasin di sini, hari ini.

Hasanuddin menjelaskan bahawa bot yang terbalik itu tidak boleh diikat dengan sauh kerana memberi kesan buruk kepada mangsa yang mungkin masih hidup.

"Kalau betul bot berkenaan terlingkup dan mangsa masih berada di bawah bot, kebarangkalian untuk mereka selamat adalah tinggi kerana masih mempunyai udara untuk mereka bernafas. Kebarangkalian itu ada," katanya.

Dalam pada itu, Hasanuddin berkata pihaknya masih belum membuka kertas siasatan terhadap kejadian tersebut bagi memberi fokus kepada operasi SAR.

Katanya, seramai 42 pegawai dan anggota daripada Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan Kelantan terlibat dalam menjalankan operasi SAR sejak malam tadi.

Beliau turut menasihatkan mereka yang suka memancing agar tidak turun ke laut buat sementara waktu berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu terutama pada sebelah malam..

Semalam, bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak berusia antara 18 hingga 60 tahun, terbalik selepas dibadai ribut kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, empat daripada mereka ditemukan lemas, empat lagi masih hilang manakala 12 pemancing lagi disahkan selamat.

Mereka yang disahkan meninggal dunia ialah Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an dan seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an.

-- BERNAMA