Dataran Keris Bakal Menjadi Tarikan Pelancongan

Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)


ALOR GAJAH, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka akan membangunkan Dataran Keris dan kawasan sekelilingnya termasuk Pasar Alor Gajah untuk menjadi tarikan pelancongan di negeri Melaka.


Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata bahawa Dataran Keris dan kawasan sekitarnya mempunyai potensi untuk dibangunkan menjadi pusat tumpuan pelancong dan seterusnya meningkatkan ekonomi setempat.


“Pihak KPKT bersama dengan kerajaan negeri akan memulakan projek menaik taraf dan memperindahkan kawasan dan fasiliti di Dataran Keris termasuklah Pasar Alor Gajah serta akan mengadakan kajian untuk penyelenggaraan fasiliti di kawasan ini setelah dinaik taraf kerana tidak mahu fasiliti yang dibangunkan terbiar sehingga merugikan kerajaan,” katanya ketika ditemu bual semasa program lawatan kerja Menteri KPKT ke negeri Melaka di Dataran Keris di sini, baru-baru ini.WhatsApp Image 2020-07-06 at 08.50.15


“Pihak KPKT turut berharap agar Majlis Perbandaran Alor Gajah selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membuat kajian semula kadar cukai taksiran harta bagi kawasan perniagaan di bandar Alor Gajah yang tidak disemak sejak tahun 1988. Perkara ini dilihat penting untuk memastikan PBT dapat memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan berkenaan," ujarnya lagi.


Sepanjang lawatan kerjanya, Zuraida telah melawat tempat yang perlu dibangunkan seperti Tapak Pelupusan Sampah Sanitari Sungai Udang dan Dataran Keris, Alor Gajah. Manakala peruntukan sebanyak RM 4juta telah diluluskan kepada empat PBT di negeri Melaka untuk digunakan bagi membangunkan kawasan setempat.


-KN