COVID-19: Tiada Kematian Direkod 22 Hari Berturut-turut

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 7 Jul (Malaysiaaktif) - Kes jangkitan COVID-19 di negara ini terus menunjukkan perkembangan baik dengan tiada kematian direkodkan selama 22 hari berturut-turut sejak 15 Jun, dengan kes baharu dicatatkan kekal satu angka seperti semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat pandemik itu kekal sebanyak 121 kes atau bersamaan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata terdapat lima kes baharu dilaporkan, menjadikan kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,668 kes dengan jumlah kebolehjangkitan 71 kes.

“Daripada lima kes baharu dilaporkan, tiga kes import mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara (pemastautin tetap) dan dua lagi kes membabitkan penularan dalam negara,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, di sini semalam.

Memperincikan dua kes penularan dalam negara, beliau berkata satu kes melibatkan bukan warganegara dikesan melalui saringan dalam komuniti oleh Pejabat Kesihatan Daerah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, satu lagi kes melibatkan warganegara Malaysia iaitu saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8,649), katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham memberi peringatan bahawa Malaysia perlu mengambil iktibar daripada situasi di Victoria, Australia yang membuat pengumuman untuk menutup 55 laluan masuk di sempadan kawasan itu dengan New South Wales selepas kes COVID-19 kembali meningkat.

“Ini susulan daripada jangkitan virus itu kembali menular di beberapa bandar utama dan salah satu faktor berlaku pelanggaran SOP (prosedur operasi standard) oleh penduduk yang pulang dari luar negara di pusat kuarantin,” jelasnya.

-- BERNAMA