Rukun Negara Bukan Bahan Sejarah Usang – Dr. Fary

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Rakyat diseru untuk tidak membiarkan Rukun Negara menjadi bahan sejarah yang usang, tiada nilai, kosong dan tidak diambil peduli

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman, Rukun Negara bukan hanya menjadi penghias di dinding bangunan atau pada catatan buku pelajaran sekolah tanpa dihayati makna yang cuba diangkat sebagai ideologi kebangsaan.

“Semangat dan penjiwaan Rukun Negara perlu dikembalikan untuk memastikan roh Rukun Negara tidak hilang dan terkubur dalam jiwa rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Rukun Negara adalah kompas rakyat Malaysia tidak kira kaum ataupun agama dalam berfikir dan bertindak agar tidak sesekali hanyut dalam arus ideologi luar yang tidak mengikut acuan Malaysia,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di Auditorium Sekolah Antarabangsa Labuan, di sini pagi tadi.

Rithuan (tiga dari kiri) menyampaikan Jalur Gemilang kepada wakil agensi kerajaan. Rithuan (tiga dari kiri) menyampaikan Jalur Gemilang kepada wakil agensi kerajaan.



Menurut Dr. Fary, Rukun Negara adalah peraturan asas membentuk pasak kenegaraan atau falsafah negara dan bukan hanya untuk dihafal atau diikrarkan.

“Rukun Negara perlu diterapkan dalam kehidupan seharian warga negara Malaysia kerana ia sangat relevan dalam menangani krisis negara tidak kira ancaman daripada dalam mahupun luar negara.

“Dengan berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara mampu menjadikan rakyat Malaysia bersatu padu, kukuh dan berwibawa bagi menghadapi apa sahaja cabaran,” katanya.

Rithuan turut menyempurnakan pelepasan konvoi Semarak Merdeka, di sini. Rithuan turut menyempurnakan pelepasan konvoi Semarak Merdeka, di sini.



Menurutnya lagi, pelbagai program disusun atur pada peringkat kebangsaan dan negeri bagi mengajak seluruh rakyat menghayati sambutan kali ini.

“Beberapa program bakal dilaksanakan di sini dengan penyertaan serta kerjasama beberapa agensi antaranya Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Majlis Perwakilan Penduduk, Majlis Sukan Labuan, Persatuan Kayak Labuan dan beberapa agensi serta pertubuhan lain.

“Melalui kerjasama ini, Jalur Gemilang sudah merentasi perairan Labuan menerusi Program [email protected], Jalur Gemilang juga berkibar megah di puncak Bukit Merinding menerusi [email protected], komuniti kampung juga disuntik dengan elemen patriotisme menerusi Program Info on Wheel (IoW) Merdeka dan anak-anak pewaris negara turut diasuh dengan semangat cintakan negara dengan Pertandingan mewarna serta nyanyian koir lagu patriotik,” katanya lagi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.

-SH