Pewaris Rumah Jambi Undang Pelancong

Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)

KEMAMAN, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Rumah Jambi yang menerapkan unsur tradisi binaan Jambi, Sumatera membuatkan rumah yang terletak di Kampung Laut, Pasir Gajah, di sini ini menjadi salah satu tinggalan sejarah yang sangat berharga buat daerah ini.

Keunikan yang ada pada Rumah Jambi ialah seni binaannya yang mempunyai pengaruh senibina Islam, Jambi, Inggeris, Melayu Johor dan sedikit senibina Melayu Terengganu selain dari namanya yang unik, dikatakan diambil dari tempat asal pemilik rumah tersebut dan dibina di atas tapak yang tinggi di tebing sungai bagi mengelak banjir yang kerap berlaku terutamanya pada musim tengkujuh.

Batu Bersurat menceritakan sejarah Rumah Jambi. Batu Bersurat menceritakan sejarah Rumah Jambi.



Rumah Jambi ini mula dibina pada Tahun 1933 oleh tukang-tukang kayu berbangsa Cina dari Chukai Kemaman yang dibayar upah dengan dibantu oleh pekerja tempatan Tengku Haji Mahmud yang berasal dari Jambi Sumatera, Indonesia.

Kini, rumah ini diwarisi oleh Tengku A Jabar Tengku haji Mahmud, 68 yang merupakan seorang pesara kerajaan.

Keunikan yang ada pada Rumah Jambi ialah seni binaannya yang mempunyai pengaruh senibina Islam,Jambi, Inggeris, Melayu Johor dan sedikit senibina Melayu Terengganu jadi tarikan. Keunikan yang ada pada Rumah Jambi ialah seni binaannya yang mempunyai pengaruh senibina Islam,Jambi, Inggeris, Melayu Johor dan sedikit senibina Melayu Terengganu jadi tarikan.



Tengku A Jabar berkata, Rumah Jambi dibina dengan menggunakan peralatan tradisional seperti ketam tangan untuk mengetam kayu. Kayu dari hutan ditebang dengan menggunakan beliung dan diketak menggunakan ketak tangan.

“Binaan rumah yang tinggi dan saiz alang serta kasau yang besar memerlukan tenaga kerja yang ramai untuk mengangkatnya ke atas.

Bahagian dalam Rumah Jambi. Bahagian dalam Rumah Jambi.



"Proses mengangkat kayu yang bersaiz besar ini dilakukan dengan menggunakan tali yang diikat kepada kasau dan ditarik ke atas oleh dua orang tukang, manakala kerangka rumah ini dibina secara bergotong-royong,” katanya.

Menurutnya, atap Rumah Jambi pula ialah atap genting yang diimport dari Malibar, India melalui Singapura dan dibawa ke Pasir Gajah melalui Kuala Kemaman dengan menggunakan tongkang dan proses membawa atap ini memakan masa selama dua tahun.

“Rumah Jambi siap sepenuhnya pada Tahun 1937 dengan kos pada masa itu sebanyak RM30,000. Ianya mempunyai bahagian tertentu seperti Sorong Tamu, Beranda Kiri, Beranda Kanan, Rumah Ibu, Rumah Bandung dan Sarong Tamu. Berhampiran dengan Rumah Jambi ini juga ada Masjid Engku Haji Mahmud," katanya.

Tengku A Jabar Tengku Haji Mahmud, pewaris Rumah Jambi undang kunjungan pelancong ke sini. Tengku A Jabar Tengku Haji Mahmud, pewaris Rumah Jambi undang kunjungan pelancong ke sini.



Tengku A. Jabar berkata, Rumah Jambi kerap dikunjungi oleh kebanyakannya merupakan penuntut universiti di seluruh Malaysia untuk membuat kajian  dan para pelajar dari sekolah-sekolah di Daerah Kemaman.

“Di samping itu, ramai pengantin baharu yang datang ke sini untuk mengambil gambar sebagai kenangan hari bahagia mereka kerana keindahan rumah tersebut.

“Saya sebagai penjaga kepada rumah tersebut menjemput khususnya warga Kemaman dan rakyat Malaysia amnya untuk ke sini untuk sama-sama mengenali lebih dekat Rumah Jambi ini,” katanya menutup bicara.

-ii-