Perlaksanaan Pelan Pengurusan Lalu Lintas Sempena Hari Raya Aidiladha 2020

Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Pengurusan Lalu-Lintas Daerah Kuala Pilah akan melaksanakan Pelan Pengurusan Lalu Lintas Daerah Kuala Pilah Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidiladha 2020.

Ia merangkumi beberapa strategi serta inisiatif pengurusan lalu lintas yang akan dilaksanakan bermula 29 Julai hingga 2 Ogos 2020 di sepanjang Jalan Kuala Pilah - Seremban.

Pegawai Daerah Kuala pilah, Mohd Faizal Abdul Manap, berkata perlaksanaan pelan ini adalah bagi memastikan kelancaran lalu lintas di sepanjang laluan tersebut.

"Beberapa lampu isyarat di Jalan Kuala Pilah-Seremban akan ditutup bermula 29 Julai hingga 2 Ogos 2020 bermula daripada lampu isyarat persimpangan Ampang Tinggi hingga ke lampu isyarat di kawasan rehat Taman Rekreasi Ulu Bendul.

“Penutupan lampu Isyarat Persimpangan Ampang Tinggi akan menyebabkan pengguna jalan raya dari arah Jalan Seremban Lama yang ingin menghala ke Seremban perlu membuat pusingan ‘U’ di persimpangan lampu isyarat di hadapan Pasaraya Giant Kuala Pilah kerana lorong menghala ke Seremban akan ditutup bagi melancarkan aliran trafik," jelasnya.

Proses penutupan jalan di sekitar Jalan Seremban - Kuala Pilah. Proses penutupan jalan di sekitar Jalan Seremban - Kuala Pilah.



Dalam pada masa yang sama, penutupan dua persimpangan masuk ke kawasan bandar Kuala Pilah bermula dari persimpangan utama di bandar Kuala Pilah, juga akan ditutup dalam tempoh yang sama iaitu Persimpangan Jalan Undang Johol – Jalan Perpatih dan Persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol – Jalan Dato’Abdul Manap.

"Persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol –Jalan Ulu Muar akan dibuka dan  ditutup sekiranya berlaku kesesakan teruk di dalam kawasan bandar Kuala Pilah.

"Bagi Pengguna yang ingin masuk ke kawasan bandar Kuala Pilah dari arah Jempol, mereka perlu melalui lorong bersebelahan bank RHB Kuala Pilah atau melalui Taman Rekreasi Jalan Bukit seterusnya melalui Jalan Perpateh.

"Para pengguna jalan raya boleh membuat perkongsian maklumat bersama-sama pengguna jalan raya yang lain melalui laman Facebook Info Trafik Rasmi Kuala Pilah – Seremban dan Twitter InfoTrafik_KP, atau hubungi talian Info Trafik - Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di 06-4842999 bagi perkongsian atau pertanyaan sebarang maklumat berkaitan keadaan trafik," katanya.

-AK