Semua Pihak Harus Hayati Erti Kemerdekaan - Wan Romani

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Mohd Rasidi Che Sa (Baling)

BALING, 30 Jul (Malaysiaaktif) - Semua golongan dituntut untuk menghayati erti kemerdekaan supaya perjuangan nenek moyang terdahulu terus dihargai.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi, Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Kedah, Wan Romani Wan Salim, berkata tujuan penganjuran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Info on Wheels (IoW) Merdeka adalah salah satu aktiviti  bagi semua golongan terutama generasi muda untuk terus mengingati betapa sengsaranya golongan terdahulu menuntut kemerdekaan.

“Walaupun negara kita dilanda COVID-19 program-program seumpama ini tetap diadakan supaya golongan muda sedar dan tahu ini adalah peranan mereka pula bagi mengekalkan kemerdekaan .

"Kesenangan dan kemakmuran yang kita nikmati sekarang menyebabkan kita terlupa bahawa negara kita pernah dijajah selama 446 tahun, di mana hanya orang-orang lama sahaja yang merasai peritnya apabila dijajah," katanya ketika berucap merasmikan program anjuran Pejabat Penerangan daerah Baling tersebut di Dewan  Desa Keda Bandar Baling, di sini kelmarin.

Wan Romani (dua dari kanan) dan Mohamad Rabi (kanan) bersama-sama peserta Konvoi Merdeka IoW, di sini. Wan Romani (dua dari kanan) dan Mohamad Rabi (kanan) bersama-sama peserta Konvoi Merdeka IoW, di sini.



Pegawai Penerangan Daerah Baling Mohamad Rabi Wahab, berkata Program IoW Merdeka ini merupakan salah satu kaedah pemasaran maklumat dan juga kempen bagi menyedarkan semua masyarakat agar memasang Jalur Gemilang bersempena sambutan Bulan Kebangsaan Negara.

"Tujuan program ini bagi mengelorakan semangat setiap masyarakat untuk sama-sama mengambil bahagian dalam bulan kebangsaan dan menyedarkan mereka betapa pentingnya mengekalkan keamanan sampai bila-bila," ujarnya.

Timbalan Pengerusi Desa Keda Bandar Che Rose Nordin, berkata program ini amat baik kerana boleh menyedarkan semua lapisan masyarakat betapa pentingnya kemerdekaan kepada sesebuah negara.

"Kita tidak mahu negara ini dijajah semula, oleh itu semua pihak harus memainkan peranan supaya kemerdekaan ini dapat kekal sampai bila-bila.

-SH