77 Penduduk Terima Surat Hak Milik Tanah

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Mohd Rasidi Che Sa (Baling)

BALING, 31 Jul (Malaysiaaktif) - Seramai 77 orang pemohon hak milik tanah menerima Surat Hak Milik Tanah daripada kerajaan negeri pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Daerah Baling yang diadakan baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, berkata istilah tanah kerajaan akan berubah kepada tanah bertuan dan mempunyai pemilik yang sah di sisi undang-undang.

"Jawatankuasa Tanah Negeri (JKTN) telah memperhalusi dan membuat keputusan untuk mengamanahkan tanah-tanah yang dipohon untuk ditadbir oleh pemohon sendiri.

"Uruslah dengan sebaik mungkin tanah yang diperolehi agar mendapat rahmat dan diberi rezeki bagi menyara keluarga," katanya dalam satu majlis penyerahan, di sini.

Sanusi turut berharap kepada masyarakat untuk tidak sewenang-wenangnya menceroboh hutan simpan kerajaan.

"Ini masalah yang banyak berlaku di kebanyakan tempat di mana tanah milik Jabatan Hutan disalah guna dengan berleluasa dan perkara ini tidak harus berlaku," tegasnya.

Sanusi turut berkata syarikat-syarikat besar atau orang-orang kaya diingatkan tidak merebut tanah yang diusahakan oleh golongan miskin.

Penerima Surat Hak Milik Tanah membuat pendaftaran. Penerima Surat Hak Milik Tanah membuat pendaftaran.



"Kita tidak mahu, ada orang kaya ataupun syarikat besar yang mengunakan pengaruh mereka bagi mendapatkan tanah daripada orang miskin yang mengusahakan tanah tetapi apabila sudah dapat tanah tersebut dibiarkan begitu sahaja dipenuhi dengan semak samun.

"Kerajaan Negeri akan mengutamakan hak milik kepada orang kampung dan peneroka yang sudah bertahun-tahun mengusahakan tanah bagi mencari rezeki kepada keluarga," tambahnya.

Pegawai Daerah Baling Muhammad Shahadan Abdullah, berkata kepada penerima surat hak milik tanah hari ini agar jangan terlibat dalam urus niaga yang tidak sah seperti perniagaan tanah lot lidi.

"Janganlah kita terlibat sama ada sebagai penjual atau pembeli tanah-tanah lot lidi di mana tanah pertanian dibuat lot kediaman dan dijual secara perjanjian jual beli tidak menggunakan borang berkanun seperti mana yang diperuntukkan dalam kanun tanah negara, kesannya adalah kepada pembeli dalam jangka masa panjang," ujarnya.

Salah seorang penerima Noraini Ibrahim, 45, berkata amat bersyukur tanah seluas 0.107 hektar yang dipohon pada tahun 2010 menjadi miliknya secara sah.

"Terima kasih kepada kerajaan dan tanah ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi mencari rezeki untuk keluarga," jelasnya.

Turut Hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim, Pegawai Kewangan Negeri Kedah Datuk Isahak Murat, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah Mohd Fauzi Mustafa dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.