Kes Positif COVID-19 Kembali Satu Angka

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 31 Jul (Malaysiaaktif) - Kes positif COVID-19 kembali kepada satu angka iaitu sebanyak lapan kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif di negara ini kini 8,964 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada lapan kes baharu itu, tiga adalah kes import melibatkan dua warganegara dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

"Tiga kes import tersebut adalah dari negara Kazakhstan (satu kes di Selangor); Indonesia (satu kes di Kedah) dan Filipina (satu kes di Sabah)," katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di sini semalam.

Dr Noor Hisham berkata lima kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warga tempatan iaitu di Wilayah Persekutuan (satu kes saringan di sebuah pusat perubatan; Johor (satu kes saringan prapembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang).

Manakala di Sabah, tiga kes iaitu satu kes saringan rujukan ke hospital di Hospital Queen Elizabeth; satu kes saringan hospital di Hospital Queen Elizabeth; dan satu kes saringan prapembedahan di Hospital Tawau.

Jelasnya tiada kes dalam kalangan bukan warganegara Malaysia yang dilaporkan dan sehingga kini, terdapat tiga kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, beliau berkata terdapat lima kes pulih COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 8,617 kes (96.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19  kekal sebanyak 124 kes (1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan kluster Bukit Bintang yang mencatatkan 11 kes positif tanpa melibatkan sebarang kes kematian telah tamat.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada mengadakan sebarang perhimpunan besar-besaran bagi sambutan Hari Raya Aidiladha.

Jelasnya umat Islam perlu meraikan perayaan tersebut sama seperti perayaan lain, susulan pandemik COVID-19 iaitu harus diraikan dengan cara yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Kita khuatir dengan risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat pada Hari Raya Aidiladha, kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan dalam membenarkan umat Islam meraikan perayaan Hari Raya Aidiladha dengan lebih selamat.

"Beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah dibangunkan bagi membolehkan sambutan diraikan dengan normal baharu," katanya.

Beliau berkata pemakaian pelitup muka amat digalakkan di tempat yang sesak dan sempit, terutamanya sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan.

"Bagi yang mengambil pengangkutan awam pula, ikutilah SOP yang ditetapkan dan pakailah pelitup muka. Ini adalah tanggungjawab sosial yang harus dipenuhi bersama-sama oleh setiap lapisan dan kategori masyarakat," katanya.

-- BERNAMA