Kemaslahatan Ummah Dipelihara, Elak Ancaman COVID-19 - Sultan Nazrin

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)/Gambar fail

IPOH, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Pendirian kerajaan Malaysia yang akur dengan had jumlah jemaah haji tahun ini adalah selari dengan ketetapan Arab Saudi demi kemaslahatan ummah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah memelihara nyawa amat dititik beratkan oleh pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan dengan tugas pemerintahan.

“Ketika dunia sedang menghadapi ancaman wabak COVID-19, ketetapan kerajaan Arab Saudi ini berpegang kepada prinsip maqasid syariah yang menekankan keselamatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

"Anggaplah ketidakcapaian hasrat untuk menunaikan haji pada tahun ini sebagai ujian Ilahi yang memerlukan pengorbanan,” titah baginda bersempena Sambutan Aidiladha dan Memperingati Hari Pahlawan di Kem Syed Putra, Jalan Tambun, di sini pagi tadi.

Terdahulu, kerajaan Arab Saudi mengenakan had jumlah 10,000 orang jemaah haji, yang dibenarkan dalam kalangan orang-orang yang telah berada di negara tersebut sahaja.

-SH