Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Norma Baharu

Laporan/foto: Salwati Md Zam/ Nur Fariza Farnoh (Melaka)


MELAKA, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat Negeri Melaka tetap berlangsung dengan penuh meriah di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, baru-baru ini walaupun negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.


“Kebisaanya pada setiap tahun sambutan Bulan Kebangsaan ini diwarnai dengan pelbagai program melibatkan jumlah kehadiran yang ramai dan gilang-gemilang. Namun, kali ini negara kita sedang diuji dan kita masih berperang dengan Covid-19. Inilah sebahagian norma baharu yang sedang kita jalani," kata Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali.


“Kejayaan menjadi sebuah negara yang merdeka perlulah dihayati dan dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi selepas merdeka. Lebih menggembirakan, Malaysia telah berjaya membuktikan bahawa perpaduan dan keharmonian kaum menjadi satu formula paling penting dalam mempertahankan kedaulatan negara.


“Jika kita ingin melihat model pemupukan Falsafah Negara Bangsa, Melaka adalah contoh yang terbaik. Ini kerana dengan adanya keturunan Cina-Baba, Chetty, Portugis dan lain-lain yang boleh berpantun serta berseloka dalam Bahasa Melayu, cukup mencertminkan keunikan budaya daripada pelbagai kaum di Melaka sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri yang kaya denga adat dan menjadi daya tarikan pelancong," katanya lagi.


Sambutan pelancaran yang bertemakan “Malaysia Prihatin” turut mendengar amanat YAB Perdana Menteri melalui siaran langsung dengan disaksikan oleh barisan ahli-ahli Majlis Kerajaan Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan agensi peringkat negeri dan persekutuan serta penjawat awam.


Dalam pada itu, ketua menteri turut melepaskan konvoi Info On Wheels Merdeka yang terdiri daripada agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) iaitu Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka, Melaka FM, TM, POS dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).


-KN