Ingkar SOP, 13 Premis Makanan Diarah Tutup

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Malaysiaaktif) - Sebanyak 13 premis makanan di daerah Seberang Perai, diarah tutup selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sehingga semalam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Rozali Mohamud berkata, daripada jumlah itu terdapat juga premis makanan yang diarahkan menutup operasi, kerana tidak mematuhi standard kebersihan seperti yang telah ditetapkan, oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, antara premis makanan yang terlibat adalah di kawasan Raja Uda, Juru, Sungai Dua, Kepala Batas, Permatang Pauh dan Bukit Mertajam.

“Bagi tindakan melanggar SOP, pengusaha premis makanan dikehendaki menutup operasi masing-masing selama satu hari, selain memastikan langkah-langkah SOP dilaksanakan mengikut arahan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita pada program Pendekatan Kreatif Memastikan Penjarakan Fizikal Dipatuhi di Premis Makanan, di Bukit Mertajam semalam.

Menurutnya, bermula 18 Mac sehingga semalam sebanyak 429,516 premis di Seberang Perai telah diperiksa, melibatkan pusat perniagaan, pusat hiburan, pasar awam dan pasar malam, kilang serta tapak pembinaan, dengan 99.36 peratus daripada jumlah itu didapati patuh SOP.

Rozali berkata, bagi tahap pematuhan penggunaan pelitup muka yang dilaksanakan pada 1 Ogos lalu sehingga semalam pula, menunjukkan 99.62 peratus patuh terhadap arahan terbaharu itu dan orang ramai yang didapati tidak memakai pelitup muka di tempat awam, seperti yang telah disarankan oleh kerajaan akan diberi amaran secara lisan.

Terdahulu, Rozali turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengarah Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Cawangan Juru) Azeem Qusairy Badril, kerana mencapai Gred A dalam pengurusan kebersihan premis makanan.

Beliau berkata, restoran tersebut juga telah mengambil langkah yang wajar dengan melakukan pendekatan kreatif, seperti memasang rantai pada kerusi dan meja makan bagi mengelakkan pelanggan duduk berkumpul di satu-satu meja melebihi dua orang.

Sementara itu, Azeem Qusairy berkata kaedah memasang rantai pada kerusi dan meja makan di premisnya, adalah sebagai salah satu langkah bagi mengelakkan pelanggan untuk datang berkumpul di satu-satu meja makan melebihi dua orang, yang boleh mendatangkan risiko penyebaran COVID-19 terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjanya serta pelanggan.

“Untuk mengelakkan kekeliruan dan risiko kami telah melakukan kaedah merantai kerusi dan meja, iaitu hanya ada dua kerusi pada satu meja sahaja supaya pelanggan lain tidak boleh memindahkan kerusi sesuka hati,” katanya.

-- BERNAMA