Kluster Sivagangga Catat 12 Kes Baharu

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 8 Ogos (Malaysiaaktif) - Kluster PUI Sivagangga di Kedah semalam mencatatkan 12 kes baharu termasuk 10 di Perlis dan satu di Pulau Pinang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Satu lagi kes dilaporkan di Kedah.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes daripada kluster itu sebanyak 43 kes setakat ini, iaitu 31 di Kedah, 11 di Perlis dan satu kes di Pulau Pinang.

"Sebanyak 10 kes baharu dilaporkan di Perlis hari ini berkait dengan kes ke-9002 yang dilaporkan di Perlis pada 4 Ogos terdiri daripada satu keluarga, manakala satu kes baharu dari Kedah adalah kontak rapat (iaitu isteri) kepada kes ke-9035 yang dilaporkan pada 6 Ogos.

“Satu kes baharu di Pulau Pinang pula disaring kerana pada 30 Julai beliau pulang ke kampung yang merupakan satu daripada kawasan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran," katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata keseluruhannya sebanyak 25 kes baharu COVID-19 direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Malaysia sebanyak 9,063 kes sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 210 kes.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu berkenaan, sembilan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan lapan rakyat dan satu bukan warganegara.

Beliau juga berkata terdapat 15 kes yang pulih semalam menjadikan jumlah kumulatif kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu sebanyak 8,728 kes atau 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan.

Sehingga kini, beliau berkata terdapat dua kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan satu pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 125 kes atau 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, katanya.

-- BERNAMA