Patuhi Arahan Keluar Masuk Negara, Peraturan Imigresen

Laporan /foto: Eviannie Kin (Sabah)/MKN Sabah

KOTA KINABALU, 10 Sept (Malaysiaaktif) - Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah berharap agar semua pihak mematuhi sepenuhnya arahan keluar masuk negara dan peraturan imigresen berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuatkuasa.

Pengarahnya Sh Sitti Saleha Habib Yussof, berkata sekatan masuk terhadap rakyat daripada negara-negara yang mencatatkan kes jangkitan COVID-19 yang tinggi termasuk Indonesia dan Filipina seharusnya memberi mesej jelas kepada rakyat Malaysia bahawa sempadan negara tidak boleh dilangkaui dengan sewenang-wenangnya.

“Masyarakat diingatkan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan dalam usaha membendung penularan COVID-19 dengan tidak bersekongkol membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) masuk ke negara ini dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat mengenai kemasukan PATI masuk ke sempadan negara.

“Kewujudan Kluster Benteng yang berpunca daripada penahanan PATI yang cuba menceroboh masuk ke Sabah harus menjadi pengajaran dan gambaran jelas kepada semua pihak bahawa kemasukan PATI tidak boleh dipandang ringan.

Dalam pada itu, seramai 266 orang PATI Indonesia diusir ke negara asal menaiki kapal dari pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.

“Seperti siri-siri pengusiran sebelum ini, Kerajaan Indonesia khususnya Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu dan Konsulat Republik Indonesia Tawau banyak memberikan kerjasama dalam memastikan proses pengusiran berjalan lancer dan pihak MKN Sabah amat menghargai kerjasama yang dihulurkan,” katanya.

-SH