Empat Juta Belia Terima Manfaat BPN - Santhara

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Lebih empat juta penerima dalam kalangan belia berumur 40 tahun ke bawah menerima manfaat langsung daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Santhara Kumar Ramanaidu, jumlah itu belum termasuk bantuan sekali beri, subsidi upah serta bantuan dana PKS sebagai bukti kesungguhan kerajaan membantu warga belia serta generasi muda.

“Kita sedar ramai golongan belia terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi yang melanda dan menyedari impak dan kesan COVID-19 tersebut, kerajaan telah pun menyusun atur dan merencana semula masa depan ekonomi yang juga melibatkan asas kepada keperluan dan aspirasi generasi muda.

“Usaha ini sudah pun diterajui oleh kepimpinan kerajaan hari ini dengan pelaksanaan PRIHATIN, Prihatin Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kesemuanya meliputi hasrat menjaga dan memelihara kepentingan seluruh rakyat merangkumi generasi muda,”katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Penyampaian Anugerah Belia Perdana Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2020, di sini semalam.

Santhara (tengah) bersama Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien menyempurnakan gimik pelancaran. Santhara (tengah) bersama Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien menyempurnakan gimik pelancaran.



Selain itu, Kementerian Wilayah Persekutuan bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan telah memperkenalkan Inisiatif Rentas Kementerian iaitu model dan kaedah kerjasama yang lebih kemas mengandungi lima Inisiatif Usahawan Muda Kota.

“Inisiatif ini merupakan penyediaan ruang perniagaan (kiosk) kepada 1,122 usahawan anak muda kota di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan reka bentuk yang moden, teratur, kemas dan bersih di 169 lokasi strategik di KL dan Putrajaya.

“Kementerian turut menyediakan pelbagai sokongan dan bantuan bagi membantu anak muda dan masyarakat di Wilayah Persekutuan dalam menghadapi keadaan yang sukar antaranya bantuan kit makanan asas khusus untuk warga Labuan yang terputus mata pencarian selain penerima bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pengecualian enam bulan bayaran sewa premis niaga milik Perbadanan Labuan dengan jumlah keseluruhan RM1,036,110 yang memanfaatkan 774 penjaja dan peniaga kecil berlesen,” katanya.

Santhara (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang penerima Anugerah Perdana Belia. Santhara (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang penerima Anugerah Perdana Belia.



Tambah Santhara, generasi muda sendiri harus menjiwai aspek perjuangan dan bekerja keras.

“Memang benar, kerajaan boleh menyediakan peruntukan, ruang dan peluang, namun ia lebih bermakna jika belia sendiri bangkit mempertingkat potensi mereka sendiri.

“Gaya hidup dan cara bekerja yang dahulu perlu berubah sesuai dengan keadaan semasa, saya percaya bahawa belia pada hari ini juga telah menerima, menghayati dan mengambil bahagian dalam norma-norma baharu kehidupan yang telah diperkenalkan,” katanya lagi.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara Tahun 2020 untuk Kategori Individu lelaki dan individu wanita serta Kategori Pertubuhan Belia.

-SH