Pegawai JaPen Rangkul Anugerah Penulisan Rencana Cemerlang HKM 2020

Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Nur Effa Maruf (Sabah)

KUALA LUMPUR, 13 Sep (Malaysiaaktif) - Pegawai Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Fauzrina Bulka merangkul anugerah dalam kategori Penulisan Rencana Cemerlang Pertandingan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2020.

Penyertaan yang dihantar melalui rencana bersiri bertajuk "Sekolah Jalanan Untuk Anak-anak Tanpa Dokumen", "Sekolah Di Atas Air" dan "PSS: Peranan Media Tidak Dimanfaat Sepenuhnya" menceritakan mengenai hak pendidikan bagi kanak-kanak tanpa dokumen di Semporna.

Menurutnya, topik itu dipilih sebagai inisiatif beliau dalam mengetengahkan isu berkenaan agar kanak-kanak ini tidak terus terpinggir dalam pembangunan, pendidikan serta kehidupan.

"Sebagai seorang ibu kepada anak berusia lapan tahun, kisah mereka ini sungguh dekat di hati apabila membayangkan anak sendiri menjalani kehidupan sedemikian.

Para pemenang HKM bergambar kenangan selepas majlis penyampaian berakhir. Para pemenang HKM bergambar kenangan selepas majlis penyampaian berakhir.



"Semoga menerusi penulisan, kita dapat mengubah stigma pemikiran mengenai hak kanak-kanak itu," katanya ketika ditemui media selepas Malam Wartawan Malaysia 2020 di sini, kelmarin.

Fauzrina membawa pulang wang RM5,000 berserta sijil dan trofi dalam majlis anjuran Malaysian Press Institute (MPI), tajaan Petronas.

Hadiah disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bersama daripada BERNAMA.

Turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, Ketua Pegawai Eksekutif MPI merangkap Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2020 Datuk Dr Chamil Wariya, Pengerusi Panel Hakim HKM 2019 Datuk Yong Soo Heong, Tokoh Wartawan Negara 2011 Datuk A.Kadir Jasin dan Tokoh Wartawan Negara 2019 Tan Sri Johan Jaaffar.

-SH